Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008
21 Mei hingga 22 Mei 2008, 24 Mei dan 26 Mei 2008
209) KES RASUAH PEGAWAI-PEGAWAI KERAJAAN NEGERI
Tahun: 2008
Sesi: 2
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah kerajaan bersedia untuk membentangkan satu laporan kertas putih di Dewan Undangan Negeri untuk menerangkan skandal-skandal rasuah yang melibatkan pegawai-pegawai atasan kerajaan Selangor yang lalu?
Kerajaan Negeri Selangor bersedia untuk membentangkan laporan rasmi berkaitan kes rasuah di Dewan Undangan Negeri Selangor selaras menjadikan pentadbiran yang telus dan adil. Namun yang demikian, pentadbiran Kerajaan Negeri masih terikat dengan Akta Rahsia Rasmi 1972 iaitu berkaitan pematuhan aspek pengurusan rekod atau Dokumen Terperingkat Kerajaan.
-
Berapa kali BPR pernah memberi laporan bertulis terhadap siasatan-siasatan ini kepada kerajaan?
Secara keseluruhannya, seramai 54 orang pegawai dan kakitangan Jabatan/Agensi di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor telah disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah Negeri Selangor (BPR) sepanjang tempoh antara tahun 2004 hingga 2008. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 12 tangkapan telah dilaksanakan dan empat (4) pertuduhan telah dihadapkan ke mahkamah.
Sebanyak 22 kes rasuah telah dirujuk kepada Ketua-Ketua Jabatan untuk diambil tindakan tatatertib berdasarkan kepada pertuduhan dan hasil siasatan Badan Pencegah Rasuah Negeri Selangor (BPR). Kes-kes yang dirujuk kepada Ketua Jabatan perlu dibentangkan di Lembaga Tatatertib Jabatan/Agensi masing-masing bagi penentuan prima facie tatatertib atau tindakan disiplin yang sewajarnya.
Selain itu, pihak BPR turut mengeluarkan 21 perakuan kes yang dirujuk kepada Ketua Jabatan untuk diambil tindakan tatatertib selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Selangor (Kelakuan & Tatatertib) 1995. Manakala sebanyak 22 surat nasihat telah dikeluarkan kepada Ketua Jabatan.