Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

45) KES PEDOFILIA

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah kes pedofilia yang di catatkan di Negeri Selangor sejak tahun 2018?

    Menurut Pensyarah Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pedofilia adalah salah satu kelainan seksual di mana seseorang mempunyai minat atau kecenderungan seksual terhadap kanak-kanak. Individu pedofil kebiasaannya terdiri daripada golongan dewasa yang mempunyai kecenderungan dorongan seks terhadap kanak-kanak dan fantasi yang boleh mengganggu kanak-kanak. Antaranya adalah seperti penderaan  seksual  kanak-kanak, merogol kanak-kanak di bawah umur, pornografi kanak-kanak,  berkomunikasi secara seksual dengan kanak-kanak, pengantunan kanak-kanak  dan pendedahan  tidak  bermoral  berkaitan  kanak-kanak. Kesalahan berkaitan jenayah seksual kanak-kanak ini dikuatkuasakan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-Kanak 2001.

     

    Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Selangor, statistik penderaan kanak-kanak di Negeri ini telah dibahagikan krepada 3 kategori iaitu penderaan fizikal, penderaan emosi dan penderaan/ gangguan seksual, tanpa mengkhususkan kepada kes pedofil. Berikut dinyatakan perincian bagi kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan di negeri Selangor untuk bulan Januari hingga September 2021:

     

    BIL. PENDERAAN JUMLAH
    1. Penderaan fizikal 527
    2. Penderaan emosi 35
    3. Penderaan/ Gangguan Seksual 514
    JUMLAH 1,076
  2. Bagaimanakah pihak Kerajaan Negeri membantu mengurangkan kes pedofilia yang membimbangkan ini?

    Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah seksyen 17, Akta Kanak-Kanak 2001 bertanggungjawab memberikan perlindungan kepada kanak-kanak daripada dicabul dari segi fizikal, emosi atau seksual daripada mana-mana orang.

    Bagi membantu mencegah dan mengurangkan kes kanak-kanak termasuk kes pedofilia, JKM Negeri Selangor mempunyai 11 Pasukan Pelindungan Kanak-kanak (PPKK) di setiap daerah di Selangor. PPKK merupakan sistem sokongan kepada perkhidmatan perlindungan kanak-kanak di peringkat komuniti. Fungsi dan peranan PPKK adalah:

    1. memberitahu apa-apa kejadian penganiayaan dan pengabaian kepada mana-mana Pelindung atau Pegawai Kebajikan Masyarakat (PKM);
    2. memberitahu mana-mana Pelindung atau PKM jika terdapat ibu atau bapa pelihara yang sesuai untuk kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan pelindungan;
    3. membantu mana-mana Pelindung atau PKM untuk mendapatkan apa-apa latihan & pekerjaan bagi kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan pelindungan;
    4. membantu mana-mana Pelindung atau PKM menjalankan fungsinya untuk menyelia mana-mana kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan pelindungan;dan
    5. menganjurkan program pendidikan awam yang berhubungan dengan kanak-kanak termasuklah ceramah, forum & aktiviti-aktiviti yang berkaitan;
    6. mengadakan perkhidmatan sokongan dan menganjurkan program pencegahan dan pemulihan bagi kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan pelindungan;

     

    1. bertanggungjawab bagi pengurusan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak;

    Tanggungjawab PPKK ialah menyelaras aktiviti Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) mengikut keperluan masyarakat setempat. PAKK setiap daerah boleh menjalankan berfungsi sebagai tempat rekreasi, pusat advokasi, pusat sumber, pusat pembelajaran, pusat intervensi krisis, pusat sukan dan riadah serta lain-lain aktiviti yang bersesuaian dan mengikut keperluan.

    Usaha ini dilakukan untuk membantu mencegah kes-kes penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak, ponteng sekolah, kerosakan akhlak dan lain-lain masalah sosial. Pada tahun 2021, negeri Selangor mempunyai 11 PPKK dan 17 buah PAKK yang memberi faedah dan manfaat kepada kanak-kanak yang tinggal di dalam komuniti.

Lampiran

Tiada Lampiran.