Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
181) KES MUFLIS SELANGOR
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan bilangan kes muflis di Selangor perbandingan antara tahun 2018 sehingga kini.
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) merupakan Jabatan yang bertanggungjawab sebagai penerima, pengurus, pentadbir dan pemegang amanah bagi harta yang dimiliki oleh bankrap dalam kes kebankrapan individu di bawah Akta Insolvensi 1987 [Akta 360].
Jumlah pecahan kes kebankrapan yang didaftarkan di Selangor adalah seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1 berikut :
Jadual 1 : Jumlah kes kebankrapan bagi Selangor dari tahun 2018-Julai 2021
TAHUN JUMLAH KES 2018 4,191 2019 3,088 2020 1,900 JAN-JULAI 2021 1,073 JUMLAH 10,252 -
Apakah faktor utama yang menyebabkan kes muflis?
Terdapat banyak factor yang menyebabkan kes muflis. Berdasarkan rekod, jumlah kes kebankrapan mengikut alasan kebankrapan bagi MdI adalah seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 2 berikut :
Jadual 2 : Jumlah kes kebankrapan mengikut alasan kebankrapan bagi Jan-Julai 2021
ALASAN KEBANKRAPAN JUMLAH KES PINJAMAN PERIBADI 2,032 SEWABELI KENDERAAN 416 PINJAMAN PERNIAGAAN 707 PINJAMAN PERUMAHAN 268 HUTANG KAD KREDIT 281 KEBERHUTANGAN YANG LAIN 52 PINJAMAN KORPORAT 65 PENJAMIN SOSIAL 0 HUTANG CUKAI PENDAPATAN 91 CARUMAN KWSP 55 BIASISWA / PINJAMAN PELAJARAN 6 JUMLAH 3,973 -
Bagaimana Kerajaan Negeri Selangor membantu untuk meredakan kes muflis di Selangor?
MdI Selangor telah mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan kadar kebankrapan pada masa kini. Namun, cara terbaik untuk mengelak daripada kebankrapan ialah melalui kesedaran masyarakat tentang risiko atau kesan daripada perintah kebankrapan. Kesedaran ini dapat diterap melalui pendidikan dan pendekatan perbelanjaan yang berhemah.
Bagi membantu mengurangkan kadar kebankrapan, Jabtan ini telah melaksanakan pelbagai program bagi mewujudkan kesedaran masyarakat tentang isu muflis dengan melaksanakan program bersama masyarakat (outreach programme) serta MdI Prihatin. Program ini bertujuan untuk menyampaikan maklumat, memberikan pendidikan dan mewujudkan kesedaran kepada orang awam termasuklah taklimat dan ceramah kesedaran mengenai siu kebankrapan kepada agensi-agensi awam, swasta, orang awam dan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta bagi menerangkan kesan dan akibat daripada perintah kebankrapan supaya masalah ini dapat ditangani di peringkat awal lagi. Sebagai contoh terkini, MdI Selangor telah menyampaikan taklimat kepada siswazah Universiti Putra Malaysia secara dalam talian di dalam program “Financial Freedom for Youth Webinar” yang telah diadakan pada 19 Jun 2021.
Selain itu, Kerajaan juga melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) iaitu sebuah agensi di bawah Bank Negara Malaysia telah mengadakan program-program untuk memberi kesedaran tentang isu kebankrapan. Program ini juga melibatkan perancangan kewangan kepada semua golongan supaya dapat menangani masalah pengurusan kewangan di peringkat pra kebankrapan. Pengurusan kewangan yang berhemah akan menjamin kedudukan kewangan di tahap yang terbaik. Melalui program ini akan dapat membantu masyarakat untuk berbelanja secara berhemah dan bijak dlaam pengurusan kewangan bagi mengelakkan perintah kebankrapan.
Selanjutnya mengambilkira kesulitan yang dihadapi rakyat termasuklah bankrap yang kini berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19, MdI telah membuat pengubahsuaian melalui Bahagian VII – Pengubahsuaian Kepada Akta 360 di dalam Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 [Akta 829] yang telah diluluskan oleh Parlimen dan berkuatkuasa pada 23 Oktober 2020. Pengubahsuaian yang dibuat ialah terhadap nilai had minima keberhutangan yang ditetapkan kepada RM100,000 dan akan berkuatkuasa sehingga 31 Ogos 2021.
Selanjutnya, MdI juga turut meminda peruntukan perenggan 5(1)(a) Akta 360 melalui Akta Insolvensi (Pindaan) 2020 [Akta A1624] yang telah diwartakan pada 22 Oktober 2020 dan akan berkuatkuasa kelak pada 1 September 2021. Pindaan ini juga adalah untuk menetapkan nilai had minima keberhutangan kepada RM100,000.
Bagi menyokong langkah kerajaan kepada bankrap, MdI juga telah memutuskan untuk memberikan penangguhan bayaran ansuran bulanan di bawah Akta 360 bagi tempoh enam (6) bulan bermula 1 April 2020 sehingga 30 September 2020. Tambahan, penangguhan bayaran ansuran bulanan telah diberikan sekali lagi kepada bankrap bagi tempoh enam (6) bulan bermula 1 Jun 2021 sehingga 30 November 2021.