Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
36) KES KEGANASAN KANAK-KANAK
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan bilangan dan penyelesaian kes keganasan terhadap kanak-kanak di Negeri Selangor.
Berikut adalah bilangan dan penyelesaian kes keganasan terhadap kanak-kanak di Negeri Selangor yang direkodkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi tahun 2024 (Januari hingga Mei).
PERKARA JUMLAH Kes yang dibuka 183 Dalam Siasatan 76 Kes Selesai a) Tuduh
b) No Futher Action
c) Kertas Untuk Simpan
107 71
30
6
-
Apakah tindakan kerajaan bagi membantu kanak-kanak yang menghadapi isu keganasan?
Tindakan kerajaan bagi membantu kanak-kanak yang menghadapi isu keganasan adalah seperti berikut:
- Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak: Kasih Kanak-kanak
Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor (JKM) dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan telah mengadakan Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak Negeri Selangor pada 30 November 2023 di tiga (3) buah sekolah di Daerah Sepang. Program ini juga telah mendapat Kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor. Bagi tahun 2024, JKM akan meneruskan program ini dengan ke 30 buah sekolah di semua Daerah dalam negeri Selangor.
Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada kanak-kanak dalam aspek keselamatan serta perlindungan kanak-kanak yang mana antara pengisian program ini memberi pendedahan berkaitan sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat serta Klik dengan Bijak iaitu satu program untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran awam tentang keselamatan dan perlindungan di Internet.
- Perkhidmatan Khidmat Nasihat dan Kaunseling
Seramai 23 orang Pegawai Psikologi di Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKMN) dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) sentiasa bersedia untuk membantu kanak-kanak dan ahli keluarga yang traumatik.
- Pasukan Pelindungan Kanak-kanak (PPKK)
JKM Negeri Selangor mempunyai 11 Pasukan Perlindungan Kanak-kanak (PPKK) di setiap daerah di Selangor. PPKK merupakan sistem sokongan kepada perkhidmatan perlindungan kanak-kanak di peringkat komuniti dan dilantik oleh Menteri di bawah Akta kanak-kanak 2001 untuk tempoh selama dua (2) tahun. Fungsi dan peranan PPKK adalah:
- memberitahu apa-apa kejadian penganiayaan dan pengabaian kepada mana-mana Pelindung atau Pegawai Kebajikan Masyarakat (PKM);
- memberitahu mana-mana Pelindung atau PKM jika terdapat ibu atau bapa pelihara yang sesuai untuk kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan;
- membantu mana-mana Pelindung atau PKM untuk mendapatkan apa-apa latihan & pekerjaan bagi kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan pelindungan;
- membantu mana-mana Pelindung atau PKM menjalankan fungsinya untuk menyelia mana-mana kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan;
- menganjurkan program pendidikan awam yang berhubungan dengan kanak-kanak termasuklah ceramah, forum & aktiviti-aktiviti yang berkaitan;
- mengadakan perkhidmatan sokongan dan menganjurkan program pencegahan dan pemulihan bagi kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan; dan
- bertanggungjawab bagi pengurusan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak.
Tanggungjawab PPKK ialah menyelaras aktiviti Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) mengikut keperluan masyarakat setempat. PAKK setiap daerah boleh menjalankan fungsi sebagai tempat rekreasi, pusat advokasi, pusat sumber, pusat pembelajaran, pusat intervensi krisis, pusat sukan dan riadah serta lain-lain aktiviti yang bersesuaian dan mengikut keperluan.
Pada tahun 2024, negeri Selangor mempunyai 11 PPKK dan 13 buah PAKK yang memberi faedah dan manfaat kepada kanak-kanak yang tinggal di dalam komuniti.
Tanggungjawab bagi membendung masalah ini bukan hanya terletak di bawah tanggungjawab JKM semata-mata. Kerjasama daripada pelbagai pihak seperti agensi Kerajaan, pemegang taruh, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat turut diperlukan dalam membendung keganasan terhadap kanak-kanak.