Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
272) KES JENAYAH SYARIAH
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Hal Ehwal Islam
Adun: Y.B. Tuan Nushi Bin Mahfodz
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapakah kes jenayah syariah yang telah didakwa Jabatan Pendakwaan Syariah sejak penubuhannya sehingga tahun 2022?
Jabatan Pendakwaan Syariah (JPSS) ditubuhkan pada 1 April 2018 dan mula beroperasi sepenuhnya sebagai sebuah Jabatan pada 1hb Januari 2019. Jabatan ini mula melaksanakan fungsi mengendalikan prosiding pendakwaan kes Jenayah Syariah di seluruh Mahkamah Syariah di Negeri Selangor dengan kekuatan hanya 14 orang Pendakwa Syarie termasuk pengendalian kes-kes Jenayah Syariah di Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah. Kes Jenayah Syariah yang dikendalikan oleh Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor terkandung di dalam Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Sejak tahun 2018 sehingga tahun 2022, jumlah kes yang diteruskan prosiding pendakwaan di seluruh Mahkamah Syariah di Negeri Selangor adalah sebanyak 14,673 kes. Jumlah ini merangkumi kes yang didaftarkan di Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah seluruh Negeri Selangor. Secara ringkasnya, pecahan kes mengikut tahun didaftarkan adalah sebanyak 3,482 kes pada tahun 2018, 3,025 kes pada tahun 2019, 2,773 kes pada tahun 2020, 2,120 kes pada tahun 2021 dan 3,273 kes pada tahun 2022. Berdasarkan kepada jumlah kes yang didaftarkan ke Mahkamah Syariah tersebut, terdapat penurunan jumlah pendakwaan kes pada tahun 2020 dan 2021 kerana dalam tempoh tersebut Negeri Selangor tidak terkecuali dilanda bencana COVID 19.
-
Berapakah yang disabitkan kesalahan?
Pensabitan kesalahan ke atas tertuduh yang didakwa di Mahkamah Syariah lazimnya adalah bagi kes-kes yang tertuduh membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan. Walaubagaimanapun terdapat juga kes bagi tertuduh yang tidak mengaku bersalah dan Mahkamah sabitkan kesalahan setelah mendengar keterangan saksi-saksi melalui proses perbicaraan. Terdapat sebanyak 14,130 kes yang telah disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Syariah sepanjang tempoh tahun 2018 hingga tahun 2022.