Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

354) KES HADHANAH DAN NAFKAH

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Puan Nurul Syazwani Binti Noh

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah kes tuntutan hadanah dan nafkah anak yang difailkan di Mahkamah Syariah Negeri Selangor dari Januari 2020 sehingga Julai 2024? Senaraikan mengikut Daerah.

    Setakat tahun 2024, bidangkuasa bagi mendengar dan memutuskan kes hadhanah adalah di Mahkamah Tinggi Syariah yang bertempat di Shah Alam manakala kes nafkah anak didengar di Mahkamah Rendah Syariah di setiap daerah mengikut tempat pemastautinan pemohon.

    Berikut adalah jumlah pendaftaran bagi kes tuntutan hadhanah dan nafkah anak yang difailkan di Mahkamah Syariah Negeri Selangor dari Januari 2020 sehingga Julai 2024 mengikut daerah-daerah dalam negeri Selangor:

     

    Kes Hadhanah:

     

    Bil. Daerah                       Tahun
    2020 2021 2022 2023 2024
    1. Mahkamah Tinggi Syariah 856 732 1102 1194 678
    Jumlah 4562 kes

     

     

     

     

     

    Kes nafkah anak:

    Bil. Daerah Tahun
    2020 2021 2022 2023 2024
    1. Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam 76 72 124 115 51
    2. Mahkamah Rendah Syariah Petaling 91 65 83 102 52
    3. Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat 45 36 48 58 30
    4. Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur 17 25 38 36 20
    5. Mahkamah Rendah Syariah Ampang 40 23 34 82 97
    6. Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat 103 70 121 112 71
    7. Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat 33 29 42 37 20
    8. Mahkamah Rendah Syariah Sepang 36 28 48 59 32
    9. Mahkamah Rendah Syariah Klang 61 35 95 127 41
    10. Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor 29 23 36 35 25
    11. Mahkamah Rendah Syariah Sabak Bernam 15 5 8 22 9
    12. Mahkamah Rendah Syariah Hulu Selangor 20 17 30 21 13
     

    Jumlah

    566 428 707 806 461
    2968 kes
  2. Apakah purata tempoh masa yang diambil untuk menyelesaikan kes hadanah dan nafkah dan bolehkah kes fasakh dan hadhanah difailkan serentak untuk menjimatkan masa?

    Proses tuntutan kes hadhanah dan nafkah yang tidak mempunyai persetujuan bersama antara pihak-pihak akan melalui prosiding perbicaraan penuh di mahkamah syariah. Prosiding perbicaraan penuh di mahkamah syariah pula melibatkan beberapa peringkat iaitu:

     

    1. Majlis Sulh (mediasi) di hadapan Pegawai Sulh dan melibatkan pihak-pihak sahaja tanpa kehadiran Peguam Syarie.

     

    1. Pengurusan Kes di hadapan Pendaftar untuk memastikan semua kertas kausa yang perlu difailkan mengikut tempoh masa yang ditetapkan (sekiranya kes tidak berjaya mencapai persetujuan dalam Majlis Sulh).

     

    • Perbicaraan di hadapan Yang Arif Hakim Bicara yang melibatkan proses sebagaimana berikut:

     

    1. Keterangan Utama Plaintif (Pemohon);.
    2. Soal Balas Keterangan Plaintif;
    3. Soal Semula Keterangan Plaintif;
    4. Keterangan Utama Saksi Plaintif;
    5. Soal Balas Keterangan Saksi Plaintif;
    6. Soal Semula Keterangan Saksi Plaintif;
    7. Keterangan Utama Defendan (Pihak yang dituntut);
    8. Soal Balas Keterangan Defendan;
    9. Soal Semula Keterangan Defendan;
    10. Keterangan Utama Saksi Defendan;
    11. Soal Balas Keterangan Saksi Defendan;
    12. Soal Semula Keterangan Saksi Defendan;
    13. Hujahan pihak-pihak; dan
    14. Keputusan Yang Arif Hakim Bicara.

     

    1. Penyediaan perintah. Sekiranya pihak-pihak diwakili Peguam Syarie, perintah akan disediakan oleh Peguam Syarie Plaintif dan akan disemak oleh Peguam Syarie Defendan sebelum perintah yang telah disemak tersebut diserahkan kepada mahkamah untuk dimeterai.

     

    Bagi kes hadhanah yang tidak mencapai persetujuan di peringkat Majlis Sulh serta diwakili Peguam Syarie, kes-kes tersebut pada kebiasaanya adalah “contested cases” yang perlu melalui proses perbicaraan penuh sebagaimana yang dinyatakan di atas. Purata tempoh masa yang diambil untuk menyelesaikan kes tersebut pula akan melibatkan tempoh yang sedikit panjang dan boleh mencapai sehingga tempoh dua (2) tahun kerana proses perbicaraan penuh tersebut tertakluk kepada prosedur-prosedur wajib yang telah diperuntukkan oleh undang-undang dan hukum syarak selain bergantung kepada tarikh lapang mahkamah dan Peguam Syarie dalam mendengar dan mengendalikan kes.

     

    Sebaliknya, kes yang “uncontested” dan mempunyai persetujuan bersama pihak-pihak cenderung untuk diselesaikan dalam tempoh kurang dari satu (1) bulan dari tarikh pemfailan kes melalui persetujuan bersama di Majlis Sulh (mediasi) yang dijalankan di mahkamah syariah.

     

    Selain itu, kebanyakan kes yang melibatkan hadhanah anak-anak yang telah mumayyiz (mencapai umur kecerdikan dalam membuat pilihan) juga cenderung untuk selesai segera berbanding kes hadhanah yang melibatkan anak-anak yang belum mumayyiz kerana anak yang telah mumayyiz boleh memberikan pandangan dan pilihannya dalam menentukan tempat tinggalnya sendiri.

     

    Bagi kes nafkah anak pula, purata tempoh masa yang diambil juga boleh mencecah sehingga dua (2) tahun sekiranya kes nafkah anak tersebut tidak mencapai persetujuan di peringkat Majlis Sulh.

     

    Namun demikian, berdasarkan seksyen 74(1)(c), subseksyen 74(2) dan (3) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 serta Arahan Amalan No. 6 Tahun 2022, mahkamah hendaklah memerintahkan nafkah sementara anak dengan kadar munasabah dan nafkah sementara tersebut akan  berkuatkuasa sehingga perintah bagi kes nafkah anak dimuktamadkan melalui perbicaraan penuh.

     

    Kes fasakh dan hadhanah boleh difailkan secara serentak namun pemfailan kes-kes tersebut tertakluk kepada bidang kuasa di mana kes fasakh hendaklah difailkan di Mahkamah Rendah Syariah manakalan kes hadhanah hendaklah difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah.

  3. Berapakah jumlah aduan yang diterima berkaitan kelewatan proses mahkamah syariah dalam menyelsikan kes hadanah dan nafkah? Apakah tindakan yang telah diambil oleh kerajaan negeri untuk mempercepatkan proses ini?

    Jumlah aduan yang diterima berkaitan kelewatan proses mahkamah syariah dalam menyelesaikan kes hadhanah dan nafkah adalah sebagaimana berikut:

     

    Bil. Daerah                       Tahun
    2020 2021 2022 2023 2024
    1. Kes nafkah anak 0 0 0 0 0
    2. Kes hadhanah 0 1 4 2 1
    Jumlah 8 kes

     

    Bagi mengatasi masalah kelewatan ini, kerajaan Negeri melalui JAKESS telah melaksanakan kajian dalam mencari punca kelewatan penyelesaian kes tersebut. Melalui beberapa kaedah sebagaimana berikut:

     

    1. Mempromosikan dan memperkasakan penyelesaian kes melalui Majlis Sulh (Mediasi) melalui program literasi undang-undang yang diadakan pada setiap tahun. Bahagian Penyelesaian Alternatif JAKESS sentiasa turun padang untuk mempromosikan penyelesaian kes melalui Majlis Sulh (Mediasi).

     

    1. Mewujudkan Program Komuniti Sulh dan Rakan BSK secara berkala yang memberikan latihan dan pendedahan berkaitan undang-undang kepada wakil-wakil pemimpin masyarakat melibatkan peserta-peserta di kalangan ketua-ketua kampung, imam-imam masjid dan guru-guru. Peserta-peserta ini dilatih untuk menjadi ejen bagi membantu memberikan nasihat awal berkaitan kes-kes keluarga di peringkat komuniti yang secara tidak langsung membantu meringkaskan proses di mahkamah syariah tanpa perlu melalui proses perbicaraan penuh kerana wujudnya perbincangan sebelum pihak-pihak hadir ke mahkamah syariah.

     

    1. Memperkasakan kompetensi Pegawai Sulh yang mengendalikan Majlis Sulh (Mediasi) melalui kursus-kursus berakreditasi. Kursus-kursus tersebut memberikan pendedahan kepada Pegawai Sulh untuk menggunakan kaedah terbaik yang boleh diaplikasikan dalam Majlis Sulh (Mediasi) seterusnya menyumbang kepada peningkatan penyelesaian kes melalui persetujuan bersama pihak-pihak.

     

    1. Menganjurkan program literasi undang-undang sebagai advokasi kepada rakyat tentang undang-undang syariah. Program ini juga sebagai salah satu cara untuk mendidik masyarakat di negeri Selangor untuk celik undang-undang serta sebagai satu usaha kerajaan dalam melindungi kelompok rentan seperti anak-anak dan wanita dalam memperjuangkan hak mereka selain mengurangkan risiko pelanggaran perintah oleh pihak satu lagi.

     

    1. Mewujudkan inovasi sistem e-naf (kalkulator pengiraan nafkah) untuk membantu perbincangan dalam Majlis Sulh dan juga sebagai rujukan pihak-pihak sebelum kes difailkan di mahkamah syariah. Sistem e-naf ini diwujudkan berdasarkan Arahan Amalan Mahkamah Syariah No. 5 Tahun 2019 berkaitan Garis Panduan Skala Pentaksiran Jumlah Nafkah Anak dan telah ditambah baik pengiraannya oleh pihak JAKESS.

     

    1. Mewujudkan perjawatan baharu dengan menambah bilangan hakim, pegawai serta kakitangan yang mengendalikan kes bagi menyegerakan kes-kes nafkah dan hadhanah. JAKESS dalam proses menyediakan kertas cadangan yang berkaitan untuk membantu mengurangkan beban tugasan hakim sedia ada dalam mendengar kes-kes di mahkamah dengan mewujudkan Bahagian Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah serta Mahkamah 4 Peringkat. Cadangan pengukuhan mahkamah syariah ini juga akan membantu penyelesaian kes hadhanah dan nafkah dengan lebih efisyen.

     

    1. Selain itu, JAKESS telah menetapkan Petunjuk Prestasi Utama atau Key Performance Indicator (KPI) bagi penyelesaian kes nafkah anak dan hadhanah. Tempoh penyelesaian bagi kes nafkah anak dan hadhanah ini akan dipantau pencapaiannya secara berkala melalui mesyuarat-mesyuarat pengurusan di JAKESS. Penetapan KPI dan pemantauan secara berkala ini penting untuk memastikan jabatan beroperasi dengan efektif dan efisyen selain dapat mengenal pasti masalah sekiranya ada supaya tindakan intervensi boleh diambil oleh jabatan.

Lampiran

Tiada Lampiran.