Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

26 Mac 2018 hingga 28 Mac 2018

11) KES GUAMAN KERAJAAN SELANGOR

Tahun: 2018

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Senaraikan semua kes mahkamah yang sedang dalam proses pengurusan kes, perbicaraan dan rayuan yang melibatkan Kerajaan Selangor dan Pejabat-pejabat Tanah sehingga sekarang. Nyatakan juga firma dan kos guaman yang telah dibayar sehingga sekarang.

    Senarai Kes Bagi Tahun 2017

    Kes-kes yang melibatkan Kerajaan Selangor tidak hanya terhad terhadap tindakan guaman yang melibatkan pejabat-pejabat Tanah. Penamanan Kerajaan Negeri juga turut melibatkan jabatan-jabatan kerajaan yang lain di mana Kerajaan Negeri dinamakan untuk tindakan vicarious liability.

     

    Bagi tahun 2017 terdapat 247 kes sivil yang baharu didaftarkan di Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor (PPUUNS). Manakala terdapat sebanyak 16 kes berkaitan dengan kemalangan yang melibatkan kenderaan jabatan Kerajaan Negeri. Jumlah keseluruhan kes yang didaftarkan bagi tahun 2017 adalah sebanyak 263 kes. Bagi tahun 2018, setakat bulan februari, sebanyak 48 kes telah didaftarkan untuk kes sivil manakala bagi kes kemalangan pula terdapat sebanyak 3 kes. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes yang didaftarkan pada tahun 2018 adalah sebanyak 51 kes. Kes-kes yang dinyatakan ini meliputi pelbagai peringkat mahkamah iaitu Mahkamah Majistret, Seksyen dan Tinggi yang tidak mengambil kira proses prosiding Mahkamah.

    Manakala untuk kes yang didaftarkan bagi peringkat Mahkamah Rayuan pada tahun 2017 adalah sebanyak 43 kes manakala setakat Februari 2018, sebanyak 16 kes telah didaftarkan untuk Mahkamah Rayuan. Bagi kes di peringkat Mahkamah Persekutuan pula, terdapat 27 kes telah didaftarkan pada tahun 2017. Hanya 1 kes didaftarkan untuk tahun 2018 setakat bulan Februari.

     

    Jumlah Kos guaman yang telah dikenakan terhadap Kerajaan Negeri dan pejabat-pejabat tanah.

     

    Bagi jumlah kos guaman peguam yang telah dikenakan terhadap Kerajaan Negeri dan pejabat-pejabat tanah bagi tahun 2017 sehingga Februari 2018

    adalah sebanyak RM343,000.00. Jumlah ini adalah untuk semua peringkat mahkamah daripada Mahkamah Majistret sehinggalah Mahkamah Persekutuan. Jumlah ini juga termasuklah kes-kes yang sedang dirayu oleh PPUUNS. Memandangkan bilangan kes dan jumlah yang banyak, PPUUNS tidak dapat menyenaraikan kesemua firma-firma guaman yang telah menerima kos-kos guaman ini. Antara firma guaman yang terlibat adalah Tetuan Tetuan Cecil Abraham & Partners,.

Lampiran

Tiada Lampiran.