Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

268) KES GELANDANGAN DI SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Wan Dzahanurin Bin Ahmad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan lanjut ke atas aduan kes gelandangan yang mengganggu premis perniagaan?

    Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor adalah salah satu agensi yang dipertanggungjawabkan dalam menguatkuasakan Akta Orang-Orang Papa 1977 [Akta 183] di mana peranan Jabatan adalah untuk mengambil orang papa seperti diperuntukkan di bawah Akta 183 tersebut.

    Bagi mengatasi masalah orang papa dan gelandangan terutama yang berpeleser dan menganggu aktiviti perniagaan, JKM mengambil inisiatif dengan melaksanakan tindakan penguatkuasaan bagi mengambil orang papa melalui operasi yang dijalankan samada secara bersepadu, berkala dan ‘ad-hoc’ melalui aduan orang ramai.

    Sehingga Mei 2024 sejumlah 56 operasi telah dijalankan dan sejumlah 46 orang papa yang diambil iaitu melibatkan 32 warganegara dan 14 orang bukan warganegara.

  2. Apakah SOP agensi yang terlibat terhadap kes gelandangan warganegara dan bukan warganegara?

    JKM

    Jabatan Kebajikan mempunyai Peraturan Tetap Operasi bagi mengambil orang papa. Bagi kes orang papa yang melibatkan warganegara, mereka akan diserahkan semula kepada waris atau penjaga dan bantuan kewangan secara bulanan akan diberikan sekiranya memenuhi kelayakan.

    Manakala, bagi kes orang papa yang tiada waris atau penjaga, golongan ini ditempatkan di institusi kebajikan atau pusat jagaan NGO. Kes orang papa bukan warganegara pula akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

    JABATAN IMIGRESEN

    Di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) tiada menyebut peraturan khusus tentang pengurusan bagi gelandangan warga asing. Walaubagaimanapun, bagi gelandangan warga asing yang telah diperiksa dan dikenalpasti semasa operasi dilaksanakan, mereka akan diuruskan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155). Antara pertimbangan tindakan undang-undang yang boleh dikenakan ke atas gelandangan warga asing setelah mendapat persetujuan Timbalan Pendakwa Raya adalah pendakwaan di mahkamah atau penghantaran pulang ke negara asal.

  3. Apakah SOP agensi terlibat terhadap kes gelandangan tidak siuman?

    Bagi kes-kes orang papa yang berpenyakit mental, pihak Jabatan akan merujuk kes berkenaan kepada pihak hospital dan PDRM untuk diuruskan di bawah Akta Kesihatan Mental 2001 (pindaan) 2023.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.