Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
167) KES GELANDANGAN DI SELANGOR
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapa kes gelandangan yang telah dilaporkan sejak Januari 2021?
Untuk makluman Yang Berhormat Kampung Tunku, berdasarkan rekod daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor, seramai 109 orang papa telah diselamatkan dari Januari hingga Jun 2021. Seramai 78 orang adalah warganegara dan sejumlah 31 orang pula bukan warganegara. Jumlah kes yang tertinggi adalah daripada Klang (39 orang), diikuti Daerah Hulu Langat (23 orang) dan seterusnya Daerah Gombak (15 orang). Tiada kes orang papa yang diselamatkan dari Daerah Kuala Selangor dan Daerah Sabak Bernam.
Bilangan orang papa yang diselamatkan mengikut daerah dari bulan Januari hingga Jun 2021 adalah seperti jadual berikut:
Daerah /Cawangan Orang Papa Yang Diselamatkan Jumlah Keseluruhan Waganegara Bukan Warganegara Petaling 8 0 8 Subang Jaya 11 0 11 Shah Alam 2 0 2 Klang 23 16 39 Hulu Langat 10 13 23 Gombak 14 1 15 Kuala Langat 5 0 5 Sepang 2 0 2 Hulu Selangor 3 1 4 Kuala Selangor 0 0 0 Sabak Bernam 0 0 0 Jumlah Keseluruhan 78 31 109 -
Apakah langkah Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan masalah ini?
Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap golongan gelandangan di Negeri Selangor. Justeru dalam menangani masalah ini Kerajaan Negeri melalui JKM Negeri Selangor telah mengambil langkah seperti berikut:
- Mewujudkan kerjasama inter agensi melalui mesyuarat penyelarasan dan operasi menyelamat melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen sebagai langkah membendung masalah gelandangan;
- Operasi membendung pengemis dan orang papa yang dijalankan secara bersepadu, berjadual dan ad-hoc. Bagi tahun 2021 bermula Januari sehingga Jun, sebanyak 149 operasi membendung pengemis dan orang papa telah dijalankan oleh JKM dan seramai 109 orang telah berjaya diselamatkan; dan
- Menempatkan orang papa di tempat perlindungan dan pemulihan khusus bagi kemasukan orang papa dan peleser (kutu rayau) yang memerlukan, sepertimana di bawah tafsiran Seksyen 2, Akta Orang-Orang Papa 1977. Terdapat dua (2) institusi perlindungan dan pemulihan orang papa iaitu Desa Bina Diri Mersing, Johor dan Desa Bina Diri Jerantut, Pahang.
Bilangan operasi yang dijalankan mengikut daerah dari bulan Januari hingga Jun 2021 adalah seperti jadual berikut:
Daerah /Bahagian / Jajahan Jenis Operasi Jumlah Bersepadu Berjadual Aduan/Ad-Hoc Petaling 1 10 21 32 Subang Jaya 0 0 20 20 Shah Alam 0 0 4 4 Klang 0 0 15 15 Hulu Langat 0 0 23 23 Gombak 2 0 25 27 Kuala Langat 0 0 8 8 Sepang 0 0 2 2 Hulu Selangor 0 1 3 4 Kuala Selangor 1 1 10 12 Sabak Bernam 0 2 0 2 Jumlah Keseluruhan 4 14 131 149