Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

107) KES DENGGI SEPANJANG PKP COVID-19

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan statistik kes-kes denggi yang berlaku sepanjang tempoh PKP Covid-19 sehingga kini dan apakah tindakan khas Kerajaan bagi terus memberi perhatian kepada usaha pengawalan kes denggi di Negeri Selangor?

    Sehingga 10 Oktober 2020, sebanyak 39,798 kes demam denggi telah dilaporkan di Negeri Selangor. Secara perbandingannya berlaku penurunan kes terkumpul demam denggi jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada tahun 2019 iaitu penurunan sebanyak 18,182 kes (31.4%). Hampir semua daerah menunjukkan trend penurunan kes demam denggi jika dibandingkan tempoh yang sama pada tahun 2019.

    Merujuk kepada data statistik kejadian kes-kes denggi sepanjang tempoh PKP COVID-19, kes didapati menunjukkan penurunan yang ketara di Selangor. Walau bagaimanapun, aktiviti pencegahan dan kawalan termasuk pemantauan dari pihak PKD masih diteruskan. Antara usaha yang perlu dilaksana termasuk;

    i Membincangkan isu denggi di peringkat daerah secara terperinci untuk tindakan yang diambil oleh pihak terlibat melalui Mesyuarat Tindakan Denggi Peringkat Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah dihadiri oleh kesemua agensi terlibat seperti PKD, PBT, Ahli Majlis dan sebagainya.

    ii Membincangkan isu serta punca pembiakan denggi di lokasi terlibat bersama penduduk/ ahli majlis/ DUN agar dapat diambil tindakan bersama.

    iii Menggiatkan penggunaan repellan dan semburan aerosaol dalam kalangan pesakit demam denggi dan komuniti.

    iv Semasa peringkat awal PKP, aktiviti gotong-royong/ aktiviti pasukan COMBI adalah tidak digalakkan. Walau bagaimanapun, semasa tempoh PKPB perlaksanaan aktiviti pencegahan denggi (pemusnahan tempat pembiakan denggi serta pendidikan kesihatan denggi) oleh komuniti dan agensi di lokaliti berkenaan dibenarkan dengan mengikut garis panduan dan norma baharu yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Aktiviti gotong-royong yang dijalankan adalah secara berfokus bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk bersama masyarakat di lokaliti berkenaan.

    v Menjalankan Program Selangor Bebas Aedes tempat Kerja dan Kuarters.

    vi Mengukuhkan Program Bebas Denggi Sekolah.

    vii Aktiviti penguatkuasaan dibawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dijalankan di premis-premis. Sekiranya premis yang dijumpai berpotensi pembiakan aedes, pengeluaran Notis di bawah Seksyen 8 akan diambil, tindakan tawaran kompaun jika terdapat pembiakan aedes atau arahan penutupan premis yang mempunyai pembiakan aedes yang padat. Kegagalan mematuhi notis seksyen 8 atau tidak membayar kompaun atau ingkar arahan penutupan, tindakan mahkamah akan diambil.

Lampiran

Tiada Lampiran.