Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

206) KES COVID DAN VAKSINASI ORANG ASLI

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Orang Asli

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah bilangan Orang Asli yang telah dijangkiti COVID-19 sejak Januari 2021? Nyatakan kampung dan daerah yang terlibat.

    Berdasarkan data yang diperoleh dari Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Selangor & Wilayah Persekutuan (JAKOA) sehingga 31 Julai 2021, terdapat sebanyak 24 daripada 74 buah kampung Orang Asli di Negeri Selangor mempunyai kes jangkitan COVID-19 yang melibatkan 457 orang dijangkiti iaitu:

    1. 101 orang daripada 5 buah kampung di daerah Hulu Selangor,
    2. 66 orang daripada 3 buah kampung di daerah Gombak,
    3. 167 orang daripada 3 buah kampung di daerah Petaling,
    4. 3 orang daripada 1 buah kampung di daerah Hulu Langat,
    5. 49 orang daripada 5 buah kampung di daerah Kuala Langat,
    6. 71 orang daripada 7 kampung dari daerah Sepang.

    Setakat ini juga tiada kes jangkitan dilaporkan dari 3 buah kampung di daerah Klang. Peratusan masyarakat Orang Asli yang dijangkiti adalah sebanyak 0.022% daripada jumlah penduduk orang Asli Negeri Selangor. Perincian kes jangkitan COVID-19 dalam masyarakat Orang Asli adalah seperti di Lampiran A.

  2. Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk membantu mereka mendapat rawatan?

    Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Selangor & Wilayah Persekutuan (JAKOA) dengan kerjasama daripada Pejabat Kesihatan Daerah akan  melaksanakan saringan bersasar di kampung-kampung Orang Asli di Negeri Selangor mengikut keperluan. Setiap individu yang telah disahkan positif jangkitan COVID-19 adalah tertakluk kepada prosedur semasa yang sedang berkuat kuasa. Ini termasuklah dengan tindakan kawalan jangkitan dijalankan melalui pengasingan kendiri dan rawatan di Pusat Kuarantin Risiko Rendah COVID-19 (PKRC). Semua individu yang disahkan positif COVID-19 akan dihubungi oleh pegawai kesihatan dan akan dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

  3. Apakah kadar vaksinasi di antara kalangan masyarakat Orang Asli?

    JAKOA Negeri Selangor telah melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Masyarakat Orang Asli melalui Program Pemberian Vaksin Bergerak di perkampungan Orang Asli dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

    Program Pemberian Vaksin bergerak ini dikendalikan sepenuhnya oleh Pejabat Kesihatan Daerah, Hospital Orang Asli Gombak, Pejabat Kemajuan Orang Asli Daerah dan MARAliner bagi perkampungan Orang Asli yang boleh diakses dengan PPV Mobile secara berperingkat dari dos pertama sehingga selesai dos kedua.

    Secara keseluruhannya, pencapaian peratusan pemberian vaksin dikalangan masyarakat Orang Asli Selangor yang layak sehingga 18 Ogos 2021 adalah sebanyak 65.10%. Sebanyak 72 daripada 74 buah kampung Orang Asli di Negeri Selangor telah menerima sekurang-kurangnya dos 1 dan baki 2 kampung masih belum menerima dos 1 serta dalam proses pelaksanaan program pemberian vaksin bergerak. Keseluruhan penerima dos 1 adalah berjumlah 9,342 orang dan dos 2 berjumlah 5,034 orang. Perincian bagi penerima vaksin dalam kalangan masyarakat Orang Asli adalah seperti di LAMPIRAN B.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.