Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

144) KES BUNUH DIRI DI SELANGOR

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah kes bunuh diri (termasuk cubaan) sejak Januari 2021, dan di DUN mana terdapat bilangan kes tertinggi?

    Mengambil kira situasi semasa, penularan pandemik Covid-19 telah menyebabkan pelbagai aspek kehidupan terjejas, sama ada dari segi ekonomi, kesihatan dan sosial. Faktor sosial seperti tidak dapat berjumpa keluarga terdekat atau orang tersayang boleh menyebabkan seseorang itu merasa tertekan dan murung. Dalam hal ini, aspek kesihatan mental yang tidak diuruskan dengan baik dan berkesan mampu menyumbang ke arah kes bunuh diri. Situasi sebegini turut berlaku di Negeri Selangor.

    Sehingga bulan Januari sehingga Julai 2021, statistik kes bunuh diri mengikut daerah dan lokaliti terpilih adalah seperti berikut:

     

    Bil. Daerah Jumlah
    1. Petaling 24
    2. Sabak Bernam 8
    3. Subang 9
    4. Gombak 14
    5. Sungai Buloh 6
    6. Ampang Jaya 8
    7. Klang Utara 30
    8. Kuala Selangor 4
    9. Kuala Langat 17
    10. Serdang 18
    11. Klang Selatan 33
    12. Shah Alam 15
    13. Hulu Selangor 4
    14. Sepang 5
    15. Kajang 70
    16. KLIA 0
    JUMLAH 265

     

    Daripada jadual tersebut, jumlah keseluruhan kes bunuh diri di Negeri Selangor bagi bulan Januari sehingga Julai 2021 adalah sebanyak 265 kes dengan daerah Kajang mencatatkan kes tertinggi sebanyak 70 kes manakala tiada kes bunuh diri dicatatkan di KLIA

  2. Apakah langkah Kerajaan Negeri untuk menangani isu bunuh diri?

    Soalan ini telah dijawab bersekali dengan soalan dari Bukit Melawati (N10) No.83 (a), Teratai (N22) N0.94 (c), Rawang (N14) No.98 (c), Taman Templer (N15) No. 137 (a), Kota Anggerik (N40) No.151 (a), Kampung Tunku (N35) No.188 (a), Subang Jaya (N31) No.208 (a) dan Sementa (N43) No. 224 (b). Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri menyedari akan kepentingan penjagaan kesihatan mental terutamanya di kala pandemik Covid-19 yang semakin mencatatkan kadar kes harian yang tinggi.  Saban hari kita melihat kes-kes yang disebabkan oleh masalah kesihatan mental. Justeru itu, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam telah memperkenalkan satu inisiatif bagi penjagaan kesihatan mental iaitu Program Selangor Mental Sihat (SEHAT). Program SEHAT ini adalah satu program yang menyeluruh merangkumi promosi, kesedaran, saringan awal dan intervensi awal dengan kerjasama pasukan penyelidik dari agensi seperti berikut:

     

    1. Universiti Islam Antarabangsa (IIUM);
    2. Universiti Sains Malaysia (USM);
    3. Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR); dan
    4. NGO- Mental Illness Awareness & Support Association (MIASA)

    Terdapat 4 objektif utama yang ingin dicapai melalui inisiatif SEHAT iaitu:

    1. Meningkatkan kesedaran dan literasi rakyat Negeri Selangor tentang kepentingan penjagaan kesihatan mental;
    2. Mengurangkan stigma masyarakat terhadap isu-isu kesihatan mental melalui program-program promosi;
    3. Menyediakan platform bagi rakyat negeri Selangor melakukan saringan awal kesihatan mental melalui aplikasi SELangkah; dan
    4. Menyediakan intervensi awal kepada rakyat Selangor secara atas talian melalui talian sokongan psikososial, forum sokongan rakan sebaya (peer) dan video psychoeducation.

    Sejak Jun 2021, SEHAT telah memulakan program promosi dan kesedaran, antaranya melalui siri bicara kesihatan mental secara atas talian yang membincangkan tajuk-tajuk penting melibatkan panelis dari pelbagai lataerbelakang seperti pakar bidang, ahli akademik, NGO, aktivis sosial dan sebagainya.

    Melalui fungsi SEHAT, para pengguna boleh mengetahui tahap kesihatan mental mereka dengan melakukan ujian saringan awal secara kendiri. Setelah mendapat keputusan, para pengguna akan diberikan akses intervensi awal SEHAT secara percuma iaitu:

    1. 30 video edukasi psikologi di aplikasi SELangkah yang merangkumi tajuk-tajuk penting berkenaan kesihatan mental.
    2. Forum SEHAT iaitu forum sokongan rakan sebaya (peer) yang membolehkan para pengguna bertanya pandangan pengendali forum dan berbincang bersama para pengguna lain di aplikasi Whatsdoc.
    3. Talian SEHAT iaitu talian sokongan psikososial yang disediakan bagi pengguna mendapatkan nasihat dan kaunseling daripada mana-mana 31 kaunselor bertauliah menerusi aplikasi Whatsdoc.

    Bagi memudahkan warga Selangor mendapatkan nasihat kaunselor, talian telefon sokongan psikososial akan diwujudkan dan tersedia melalui aplikasi WhatsDoc. Para pengguna akan berpeluang untuk mendapatkan nasihat kaunselor bertauliah secara percuma dan sesi peer support bersama badan bukan kerajaan (NGO) didalam aplikasi Whatsdoc.  Melalui inisiatif ini, dapat disimpulkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor komited dalam menangani isu berkaitan kesihatan mental secara holistik yang memberi kesan kepada rakyat Selangor khususnya berikutan wabak pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Lampiran

Tiada Lampiran.