Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012

174) KERUGIAN KDEB

Tahun: 2012

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan jumlah kerugian yang dialami oleh Anak Syarikat Negeri Selangor (KDEB) dalam tahun 2010 dan 2011?

    Peringkat Kumpulan

    Sebenarnya, bagi tahun berakhir 31 Disember 2011, Kumpulan KDEB telah mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM15.3 juta.

    Walaubagaimanapun, sekiranya dibandingkan dengan tahun 2010, ianya adalah satu penurunan sebanyak RM51 juta berbanding keuntungan sebelum cukai berjumlah RM66.3 juta pada tahun 2010.

    Kemerosotan di dalam prestasi kewangan Kumpulan KDEB pada tahun 2011 adalah disebabkan oleh perkara-perkara berikut:-

    1. Peningkatan lain-lain perbelanjaan sebanyak RM16.0 juta. Bagi tahun 2011, Kumpulan Hartanah Selangor Berhad telah membuat peruntukan rosot nilai sebanyak RM56.7 juta berbanding tahun 2010 sebanyak RM10.9 juta dan seperti berikut:-
      • peruntukan rosot nilai bagi penerimaan jangka panjang sebanyak RM20.8 juta;
      • peruntukan rosot nilai untuk hartanah dipegang untuk pembangunan sebanyak RM30.8 juta; dan
      • peruntukan rosot nilai untuk stok sebanyak RM5.1 juta. Di samping itu, Konsortium ABASS Sdn Bhd turut membuat peruntukan rosot nilai sebanyak RM22.3 juta bagi hutang yang telah melebihi 90 hari daripada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (“SYABAS”).
    2. Pengurangan di dalam bahagian keuntungan Kumpulan daripada syarikatsyarikat bersekutu sebanyak RM48.5 juta disebabkan oleh Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Berhad (“SPLASH”) mencatatkan peruntukan rosot nilai sebanyak RM67.7 juta bagi penerimaan hutang daripada SYABAS.

    Sekiranya peruntukan rosot nilai sebanyak RM79.0 juta seperti yang disebut di atas tidak dicatatkan pada tahun 2011, Kumpulan KDEB akan mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM94.3 juta. Perbandingan “apple to apple” in dengan jelas menunjukkan bahawa dari segi operasi, Kumpulan KDEB telah menunjukkan perkembangan prestasi yang lebih baik dari tahun 2010.

    Peringkat Syarikat

    Bagi tahun berakhir 31 Disember 2011, Syarikat KDEB mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM8.1 juta berbanding keuntungan sebanyak RM7.8 juta bagi tahun 2010.

    Kerugian pada tahun 2011 adalah disebabkan oleh peningkatan kos faedah sebanyak RM8.1 juta. Ini adalah kerana jaminan bank untuk “Put Option” sebanyak RM225.8 juta telah ditukarkan menjadi pinjaman berpenggal pada 11 Ogos 2011 disebabkan oleh “Put Option” telah dilaksanakan oleh pihak Kumpulan Perangsang Selangor Berhad. Kadar faedah bagi pinjaman berpenggal adalah sebanyak 8.35% setahun berbanding kadar jaminan bank sebanyak 1.25% setahun.

    Disamping itu, pada tahun 2011, tiada keuntungan daripada penjualan tanah sebagaimana yang dicatatkan pada tahun 2010 sebanyak RM55.6 juta.

  2. Apakah langkah-langkah yang telah diambil bagi memulihkan kelemahan kewangan Anak Syarikat tersebut?

    Kumpulan KDEB telah merangka beberapa strategi dalam usaha memulihkan kedudukan KDEB dan anak-anak syarikatnya yang mana diantaranya menilai sektor-sektor baru yang berkaitan dengan perniagaan dan kepakaran Kumpulan pada masa kini seperti tenaga diperbaharui, telekomunikasi dan minyak & gas.

    Melalui anak syarikatnya iaitu Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (“Perangsang Selangor”), Kumpulan KDEB telah berjaya membuat pelaburan strategik di dalam NGC Energy Sdn Bhd (40%) dan Ceres Telekom Sdn Bhd (30%) masing-masing pada 11 dan 19 Jun 2012. NGC telah mengambilalih perniagaan dan aset gas petroleum cecair dari Shell Malaysia Trading Sdn Bhd di Semenanjung Malaysia manakala Ceres Telecom merupakan sebuah operator telefon pra bayar yang berlesen penuh di Malaysia. Ceres Telecom bercadang memperkenalkan perkhidmatan telefon pra bayar di bawah jenama FRiENDi dan Virgin Mobile untuk pasaran di Malaysia.

    Bagi segmen hartanah pula, Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (“KHSB”) dan anak-anak syarikatnya terus mengenalpasti isu-isu legasi yang berpunca dari pembangunan hartanah dan projek-projek kerjasama sejak dari tahun 1991. KHSB telah menggariskan beberapa pelan strategik untuk dilaksanakan dalam beberapa tahun ini.

    Pada 17 Mei 2012, Kumpulan KHSB telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (‘Memorandum of Understanding) (“MoU”) bersama dengan SunLohas Group Limited dimana kedua-dua pihak akan bersama-sama menjalankan kajian undang-undang, kewangan dan komersial untuk mengenalpasti kebolehsanaan (“feasibility”) dan kemandirian (“viability”) cadangan pembangunan yang bakal dijalankan ke atas tanah berukuran 4,976.719 ekar di Bestari Jaya yang mana KHSB merupakan pemilik benefisiarinya.

    Selain itu, KHSB juga telah menandatangani MoU bersama dengan Norzakiah Architect (“NZA”) pada 24 Mei 2012 dengan tujuan melantik NZA sebagai Konsultant Perancang Bandar Utama, bersama-sama dengan Buchan Group of Australia, untuk menyediakan pelan utama bagi pembangunan Bandar di Timur Pulau Indah dengan ukuran sebanyak 1,196 ekar diatas tanah Central Spectrum (M) Sdn Bhd.

    KHSB telah berjaya menjual Fasa 1 Selangor Halal Hub Pulau Indah yang berukuran 300 ekar. Kerja-kerja infrastruktur bagi Fasa 2 yang berukuran 400 ekar adalah 95% siap dan dijangka siap sepenuhnya pada 2012.

    Kumpulan KHSB telah memutuskan untuk membangunkan sekeping tanah berukuran 9.60 ekar di Seksyen 14, Petaling Jaya berdasarkan kerjasama (joint venture basis). Projek ini terletak di kawasan yang strategik dan menarik minat ramai pihak. KHSB amat berhati-hati dalam merancang projek ini untuk memaksimakan pulangan dan nilai pemegang saham.

    Kumpulan KHSB juga secara aktifnya sedang mengenal pasti tanah-tanah yang strategik untuk dibangunkan pada masa hadapan.

    Dengan pelan-pelan strategik yang dirancang, Kumpulan KDEB dijangka akan mendapat pulangan bermula dari tahun 2015.

Lampiran

Tiada Lampiran.