Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
287) KEROSAKAN JALAN
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Ong Chun Wei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah petunjuk prestasi utama (KPI) kerajaan terhadap aduan kerosakan jalan?
Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kerajaan Negeri terhadap aduan kerosakan jalan ialah pelaksanaan tindakan penyelesaian atau maklum balas kepada aduan dalam tempoh 24 jam. Pada 6 September 2022, YAB Dato’ Menteri Besar Selangor telah mengumumkan bahawa pengguna jalan raya di Selangor boleh melaporkan sebarang kerosakan jalan raya termasuk jalan berlubang menerusi Twitter dengan penggunaan tanda pagar atau hashtag #infrasel, tajuk gambar (kapsyen) dan butiran ringkas mengenai nama jalan dan daerah.
Pada 7 Jun 2023, YAB Dato’ Menteri Besar Selangor turut memaklumkan bahawa platform penghantaran aduan kerosakan jalan raya di negeri ini akan diperluaskan dengan menggunakan aplikasi Facebook untuk kemudahan penyampaian aduan oleh rakyat.
-
Apakah langkah yang akan diambil oleh kerajaan bagi memastikan aduan terhadap jalan di bawah penyelenggaraan pemaju turut diambil tindakan segera?
Bagi memastikan jalan raya yang berada di bawah selenggaraan pemaju turut diambil tindakan pembaikan dalam tempoh 24 jam, Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan mengeluarkan Notis Arahan Pembaikan pembaikan segera kepada pihak pemaju. Sekiranya pemaju gagal untuk membaiki dalam tempoh yang ditetapkan, PBT akan menjalankan kerja-kerja pembaikan dan segala kos pembaikan akan ditolak daripada wang cagaran pembangunan pemaju tersebut.
Selain itu, PBT turut mewajibkan untuk pihak pemaju melaksanakan pemeriksaan berkala ke atas jalan yang diselenggara untuk memastikan pematuhan terhadap piawaian yang ditetapkan dan laporan secara berkala perlu dikemukakan kepada PBT. Jika terdapat mana-mana pemaju yang ingkar, PBT boleh mengenakan denda atau tindakan undang-undang yang lebih tegas terhadap pemaju yang gagal mengambil tindakan penyelesaian berhubung aduan yang dilaporkan.