Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017
288) KERJASAMA KERAJAAN NEGERI DENGAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
Tahun: 2017
Sesi: 2
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi memastikan pelaksanaan projek pembangunaan dapat di nikmati sepenuhnya oleh rakyat Negeri Selangor?
Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah menolak cadangan projek daripada pihak Persekutuan selagi mana ianya tidak mendatangkan kemudaratan kepada Kerajaan Negeri mahupun rakyat di Negeri Selangor, bahkan mengalu-alukan dan sentiasa memberi kerjasama terhadap mana-mana projek Persekutuan yang bakal memberi kesan positif kepada rakyat Negeri Selangor tidak kira untuk jangka masa pendek atau panjang.
Sejajar dengan itu, Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor Bil. 1/2015 yang bersidang pada 12 Februari 2015 telah membuat ketetapan bahawa projek-projek pembangunan infrastruktur berskala besar seperti lebuhraya, LRT, MRT, Rel Berkelajuan Tinggi, Talian Voltan Tinggi, Janakuasa dan lain-lain projek berskala besar serta melibatkan implikasi kepada alam sekitar serta penduduk perlu melalui proses rundingan dengan Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Perancang Negeri selaras dengan Seksyen 20A Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).
Ini bagi membolehkan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) mengambil maklum dan membantu mempermudahkan pelaksanaan projek pembangunan yang dirancang melalui ulasan-ulasan teknikal semasa sesi rundingan tersebut bagi mengelakkan kemungkinan pemajuan berkenaan terkeluar daripada perancangan dan seterusnya menyulitkan kerja-kerja penyelarasan pembangunan fizikal di tapak pembangunan. Selain sebagai medium kawalan, ketetapan ini juga adalah bagi menjamin kepentingan rakyat dalam pelbagai aspek termasuk dalam menikmati manfaat hasil daripada pembangunan yang dijalankan.