Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

135) KERJA-KERJA PEMBERSIHAN KDEB

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Preakas A/l Sampunathan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan prestasi dan jadual kerja-kerja pembersihan oleh KDEB.

    Prestasi kerja-kerja pembersihan oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) di lapangan di pantau oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Bagi kerja-kerja pembersihan awam di Shah Alam termasuk di DUN Kota Kemuning, prestasi KDEBWM akan dipantau setiap hari oleh pemantau-pemantau dari Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Prestasi KDEBWM ini akan dibentangkan oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MBSA setiap bulan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengindahan Bandar yang dipengerusikan oleh Datuk Bandar MBSA dan dihadiri  oleh semua ketua-ketua Jabatan MBSA dan Ahli-Ahli Majlis yang menganggotai jawatankuasa pengindahan bandar ini.  Purata markah prestasi perkhidmatan pembersihan awam di DUN Kota Kemuning dari bulan Januari  2023 hingga September 2023 adalah seperti berikut:

     

    Bulan Markah (%)
    Jan 80.71
    Feb 81.71
    Mac 85.76
    Apr 83.18
    Mei 80.82
    Jun 81.59
    Julai 80.71
    Ogos 82.53
    September 84.29

     

     

     

    Jadual kerja-kerja pembersihan awam standard di seluruh kawasan MBSA adalah seperti berikut:

     

    Skop Kerja Kekerapan
    Sapuan jalan – kawasan komersial / jalan utama yang ditetapkan Setiap hari
    Pembersihan longkang 2 kali sebulan
    Pemotongan rumput 2 kali sebulan
    Kutipan sampah kebun / pukal / haram / longgok (KPHL) 3 kali seminggu (Isnin, Rabu, Jumaat atau Selasa, Khamis, Sabtu)

     

    Jadual terperinci yang mempunyai butiran setiap jalan dan lorong telah pun diedarkan kepada semua ahli-ahli majlis MBSA termasuk di DUN Kota Kemuning.

  2. Sejauh manakah keberkesanan kerja pembersihan KDEB di DUN Kota Kemuning?

    Keberkesanan kerja pembersihan KDEBWM di seluruh kawasan MBSA termasuk di DUN Kota Kemuning yang dinilai melalui  aspek pematuhan jadual dan spesifikasi kerja secara umumnya adalah memuaskan.  Walaubagaimanapun, KDEBWM menghadapi cabaran bagi skop perkhidmatan kutipan sampah kebun / pukal / haram / longgok (KPHL)  kerana penjanaannya yang tinggi dan sukar dikawal khususnya di  jalan Bukit Kemuning dan kawasan – kawasan kilang. Kawasan tersebut juga turut dijadikan tempat longgokan sampah haram dipercayai dari kilang-kilang haram tanpa lesen, penjaja dan individu-individu yang tidak bertanggungjawab. MBSA sentiasa berusaha untuk mengatasi  masalah sampah KPHL termasuk di DUN Kota Kemuning ini bagi membantu KDEBWM melaksanakan kerja-kerja pembersihan awam dengan lebih berkesan melalui tindakan penguatkuasaan dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) bergerak bagi pemantauan 24 jam di kawasan hotspot sampah haram.

  3. Sila nyatakan apakah perancangan jangka masa pendek dan panjang KDEB dalam konteks mempertingkatkan mutu perkhidmatan kutipan dan pembersihan sampah?

    Bagi meningkatkan lagi prestasi KDEBWM khususnya di dalam konteks mempertingkatkan mutu perkhidmatan kutipan dan pembersihan awam, KDEBWM sentiasa bekerjasama rapat dengan MBSA kerana keberkesanan operasi memerlukan kerjasama erat dari pelbagai pihak  termasuk penduduk, dan pemegang taruh yang lain. Bagi perancangan jangka pendek, KDEBWM akan memperkemaskan lagi pemantauan kerja-kerja yang dilakukan oleh kontraktor kawasan yang telah dilantik dengan memastikan pematuhan kepada jadual dan kekerapan perkhidmatan yang telah ditetapkan. KDEBWM akan mengambil tindakan tegas termasuk menamatkan perkhidmatan mana-mana kontraktor yang gagal mencapai tahap prestasi yang disasarkan. Bagi perancangan jangka panjang pula, KDEBWM bersama-sama dengan MBSA akan mengkaji keperluan penambahbaikan dan pembangunan infrastruktur bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam seperti penarikan semula tong-tong komunal berpusat di tepi jalan- jalan utama  (bin point) dan menggantikannya dengan kaedah  kutipan dari pintu ke pintu tertakluk kepada kesesuaian dan peruntukan yang mencukupi bagi membendung aktiviti  pembuangan sampah haram yang semakin berleluasa.

Lampiran

Tiada Lampiran.