Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

130) KERETA ELEKTRIK

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Usaha kerajaan bagi menggalakkan rakyat penggunaan kereta elektrik.

    Perkembangan trend semasa turut menyaksikan kenderaan elektrik (EV) semakin mendapat tempat dalam kalangan penduduk di seluruh dunia termasuklah Malaysia. Kenderaan EV juga mula menembusi segmen kereta arus perdana yang turut disokong kemajuan teknologi penjimatan tenaga yang terkini. Sehubungan itu, Malaysia kini mengorak langkah untuk melonjakkan penggunaan EV agar tidak ketinggalan dalam melaksanakan agenda EV bagi mengurangkan pelepasan GHG dalam negara.

     

    Negeri Selangor turut berhasrat menjadi negeri peneraju dalam penggunaan kenderaan elektronik (EV). Mengambil kira peranan penting EV dalam mengurangkan pelepasan karbon, melalui pengumuman Belanjawan Selangor 2022, Kerajaan Negeri telah mengumumkan untuk menyediakan pelbagai insentif kepada industri dan komuniti perniagaan sebagai galakan dalam membangunkan infrastruktur EV. Kerajaan Negeri bersedia menyediakan insentif termasuk pengurangan fi lesen perniagaan dan cukai taksiran. Bayaran letak kereta di bawah pentadbiran PBT secara percuma akan diberikan kepada para pengguna EV.

     

    Di samping itu, Kerajaan Negeri turut menyasarkan sebanyak 10,000 pengecaj EV akan dipasang menjelang tahun 2025 dengan kerjasama pihak swasta. Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan kerjasama dan cadangan usahasama daripada pihak-pihak swasta, terutamanya syarikat tempatan di dalam bidang teknologi hijau ini. Dasar Tenaga Negara 2022 – 2040 yang baru dilancarkan oleh Kerajaan Persekutuan merupakan satu anjakan transformasi sektor tenaga negara dan salah satu elemen keutamaan adalah mengiktiraf EV sebagai fokus masa depan.

     

    Berdasarkan kepada pengumuman Belanjawan 2022, Kerajaan Persekutuan juga memberikan pengecualian sepenuhnya ke atas duti import, duti eksais dan cukai jualan kenderaan EV bagi kenderaan import (CBU) dan kenderaan pemasangan tempatan (CKD), masing-masing sehingga 2025. Di samping itu pengecualian cukai jalan sehingga 100 peratus juga telah diberikan kepada kenderaan EV dan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2500 turut diberikan ke atas kos pembelian dan pemasangan, sewaan dan sewa beli kemudahan serta bayaran yuran langganan kemudahan pengecasan EV.

     

    Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri komited mengaplikasikan faedah-faedah yang telah digariskan dalam dasar utama negara dan usaha Kerajaan Negeri dalam mempromosikan penggunaan kenderaan elektrik di negeri Selangor boleh dipergiatkan lagi dengan:

     

    • Menyediakan garis panduan khusus untuk pembangunan infrastruktur EV bagi semua PBT;

     

    • Mewujudkan zon khusus EV di Selangor dengan menawarkan kadar letak kereta yang rendah dan keutamaan tempat letak kenderaan bagi EV dan hibrid;

     

    • Memperkenalkan dasar zero-emission mobility yang menekankan pelaburan dalam ekosistem pembangunan pengecas EV di peringkat PBT;

     

    • Memperkenalkan dasar dan inisiatif sokongan bagi meningkatkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) terutama motosikal yang lebih murah dan menjimatkan; dan

     

    • Menggalakkan Jabatan/Agensi Kerajaan Negeri yang menganjurkan acara-acara besar kerajaan untuk menggunakan kenderaan EV sebagai kenderaan rasmi Kerajaan seperti yang disyorkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Lampiran

Tiada Lampiran.