Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010

98) KERACUNAN MAKANAN

Tahun: 2010

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Dato' Dr. Karim Bin Mansor

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah kes keracunan makanan yang berlaku di kantin sekolah dan restoran dari tahun 2008?

    Jumlah kes keracunan makanan yang berlaku di kantin sekolah dan restoran

     

    TAHUN 2008 2009 2010
    KANTIN SEKOLAH 37 12 16
    RESTORAN 0 0 2
  2. Apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk membendung masalah ini?

    1. Jabatan Kesihatan Negeri Selangor melalui Pejabat Kesihatan Daerah menjalankan pemeriksaan kebersihan premis makanan, pengendali makanan, penyediaan makanan dan pemprosesan makanan (termasuk kantin sekolah dan restoran) secara berkala setiap bulan. Premis makanan yang gagal melepas tahap kebersihan tertentu akan ditutup dan diarahkan menjalankan kerja-kerja pembersihan di bawah Akta Makanan 1983.
    2. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mewajibkan semua pengendali makanan menjalani Program Latihan Pengendali Makanan dan pemeriksaan kesihatan. Mana-mana pengendali makanan yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
    3. KKM dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) juga telah melaksanakan program KENDIRI (pemeriksaan sendiri kantin dan dapur asrama sekolah) di sekolah-sekolah di bawah KPM sejak 2008. Melalui program ini pengusaha makanan di sekolah dan guru sekolah yang bertanggungjawab telah dilatih untuk menjalankan pemeriksaan sendiri di sekolah untuk menilai aspek keselamatan dan kebersihan makanan.
    4. KKM dengan kerjasama KPM dan PLUS serta lain-lain agensi juga giat menjalankan program promosi keselamatan makanan. Antaranya, promosi utama tahun 2010 yang dijalankan di sekolah adalah promosi bergerak ‘Squad Germ Buster’, kempen ‘Lihat, Hidu, Rasa’ yang dirasmikan oleh YB Timbalan Menteri Kesihatan dan pertandingan kantin sekolah bersih peringkat negeri dan kebangsaan. Promosi bergerak keselamatan makanan di R&R (PLUS) bersama  ‘Squad Germ Buster’ dan taklimat keselamatan makanan kepada pengusaha makanan di R&R juga dilaksanakan.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.