Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

139) KEPUTUSAN SELEPAS UJIAN SARING KESIHATAN

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Ahmad Mustain Bin Othman

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah penambahbaikan bagi Program Saring Selangor terutamanya penjelasan keputusan saringan melalui aplikasi Selangkah yang terlalu umum dan sukar difahami terutama bagi warga emas?

    Kerajaan Negeri menyedari kepentingan pelaksanaan saringan awal kesihatan terutama kepada golongan berisiko. Saringan kesihatan mampu mengesan penyakit dengan lebih awal, seterusnya dapat membantu mendapatkan rawatan selanjutnya dengan lebih berkesan. Justeru, pengenalan Program Selangor Saring yang telah bermula pada tahun ini merupakan antara langkah Kerajaan Negeri dalam usaha meningkatkan kesedaran orang awam tentang kepentingan menjalani saringan kesihatan.

    Program ini menawarkan saringan penyakit tidak berjangkit seperti jantung, darah tinggi dan kencing manis serta penyakit kanser seperti kolorektal, prostat, serviks dan payudara secara percuma. Pemeriksaan mata juga turut diberikan bagi mengenalpasti masalah rabun, glaucoma dan retina.

    Namun, terdapat beberapa ruang penambahbaikan di dalam program ini yang boleh dilakukan, khususnya dalam memastikan keputusan saringan yang telah dikeluarkan melalui aplikasi SELANGKAH selepas saringan dibuat dapat difahami oleh kumpulan sasar.

    Untuk makluman Yang Berhormat, keputusan ujian saringan yang diberikan dalam aplikasi Selangkah adalah menggunapakai templet yang sama (standard) seperti mana-mana keputusan saringan kesihatan yang biasa dilakukan. Setiap keputusan yg dikeluarkan mempunyai parameter tertentu yang akan menunjukkan keputusan tersebut adalah normal atau sebaliknya. Bagi yang memerlukan konsultasi lanjut terutamanya golongan warga emas, mereka boleh hadir ke klinik-klinik Selcare dan juga klinik panel Selcare bagi mendapatkan khidmat konsultasi secara percuma.

Lampiran

Tiada Lampiran.