Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017
136) KEPERLUAN KERJASAMA KERAJAAN NEGERI/NGO-NGO DALAM MEMBENTERAS GEJALA SOSIAL
Tahun: 2017
Sesi: 2
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Razaly Bin Hassan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk mengiktiraf peranan NGO, berbincang dan merangka tindakan bersama dalam membanteras gejala sosial di Selangor?
Kerajaan Negeri sentiasa melibatkan NGO di dalam perbincangan dan merangka tindakan bersama dalam membanteras gejala sosial di Selangor dan antara program yang melibatkan NGO ialah Bengkel Prosiding Menangani Gejala Sosial 2017 bertujuan merangka satu pelan bagi menyelaras, merancang pelaksanaan tindakan secara bersama dan bersepadu. Manakala NGO yang terlibat seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Pelajar Islam Selagor Darul Ehsan (PEPIAS) dan rumah – rumah perlindungan.
Selain itu pihak NGO juga dilibatkan di dalam Majlis Dialog Belanjawan pada setiap tahun bagi mendapatkan idea, cadangan dan maklum balas bagi penyediaan program menangani gejala sosial.
-
Pohon statistik tahun 2012-2016 kes-kes gejala sosial mengikut negeri dan kaum?
Statistik yang diperolehi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor mengenai kes-kes gejala sosial / jenayah remaja dikalangan pelajar hanya melibatkan Negeri Selangor sahaja mengikut kaum adalah seperti berikut :
STATISTIK TANGKAPAN PELAJAR DALAM KES – KES GEJALA SOSIAL / JENAYAH 2012 SEHINGGA 2016 DI NEGERI SELANGOR
TAHUN
JUMLAH KES BANGSA JUMLAH TANGKAPAN MELAYU CINA INDIA LLB 2012 1,247 914 114 550 36 1,614 2013 1,418 971 155 610 41 1,777 2014 856 816 71 294 44 1,225 2015 558 608 50 180 12 850 2016 781 795 63 350 33 1,241 JUMLAH 4,860 4,104 453 1,984 166 6,707 -
Nyatakan kekangan dalam pembasmian kes gejala sosial di Selangor
Secara umumnya masalah gejala sosial merangkumi pelbagai perlakuan negatif anggota masyarakat. Gejala sosial juga diklasifikasikan sebagai satu jenayah yang melibatkan etika dan moral individu yang melibatkan remaja dan orang dewasa. Oleh itu pihak kerajaan dengan kerjasama pelbagai jabatan / agensi telah merancang dan melaksanakan program – program untuk menangani masalah gejala sosial ini.
Namun demikian, terdapat beberapa kekangan dalam usaha menangani masalah gejala sosial di Selangor antaranya :
- kurang penyelidikan / kajian
Permasalahan gejala sosial ini amat kurang diberikan penumpuan kajian secara akademik. Ini adalah kerana tanggapan sesetengah pihak yang merasakan isu ini adalah tanggungjawab sesebuah organisasi sahaja. Selain itu, penyelesaian masalah sosial ini tidak boleh berdasarkan kajian semata-mata selagi agensi terlibat dan masyarakat tidak memahami faktor-faktor kompleks mengapa masalah ini terjadi.
- Pengaruh media massa / media sosial
Budaya keterbukaan melalui media massa dan sosial yang semakin menular di negara kita banyak mempengaruhi perkembangan dan tingkah laku masyarakat terutamnaya remaja. Faktor ini juga merupakan kekangan kepada usaha pihak bertanggungjawab dalam menangani masalah sosial;
- Kurang tenaga kerja dan kepakaran
Bilangan kes gejala sosial yang semakin meningkat menyebabkan kurangnya nisbah tenaga kerja yang mempunyai kepakaran untuk mengendalikan kes. Bagi kes gejala sosial bukan sahaja perlu diperingkat intervensi kes tetapi juga terlibat diperingkat pencegahan, pengenalpastian keluarga yang berisiko dan seliaan.
Selain daripada kekangan di atas, sikap dan peranan ibu bapa yang kurang kemahiran dan terlalu sibuk, kawasan yang teralu padat dan tidak kondusif serta kurang keprihatinan masyarakat terhadap masalah ini merupakan cabaran untuk melaksanakan pelan tindakan menangani gejala sosial.