Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

266) KEPELBAGAIAN AGAMA DAN KAUM

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Jakiran Bin Jacomah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan Negeri dalam memperkasakan keharmonian kepelbagaian agama dan kaum di Selangor?

    Usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam memperkasakan keharmonian kepelbagaian agama dan kaum di negeri Selangor adalah dengan menganjurkan program perayaan bagi setiap agama secara terbuka bagi membolehkan semua masyarakat di Negeri Selangor dapat bersama-sama merasai dan memahami budaya agama yang lain. Ini akan meningkatkan rasa hormat menghormati antara kaum kerana masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk menyambut hari kebesaran masing-masing.

    Bagi usaha-usaha yang telah dijalankan oleh Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam, terdapat penyaluran peruntukan kepada semua jenis rumah Ibadat Selain Islam melalui persatuan-persatuan yang menguruskan rumah ibadat tersebut untuk melaksanakan aktiviti keagamaan serta membaikpulih bangunan keagamaan supaya lebih kondusif untuk beribadat. Sejak tahun  2009 hingga 2017, sebanyak RM38 juta telah disalurkan kepada rumah ibadat bagi menghidupkan amalan keagamaan mengikut agama yang dianuti seperti sambutan perayaan, aktiviti pendidikan agama, bantuan pengajaran dan pembelajaran keagamaan dan seumpamanya.

  2. Nyatakan tindakan Kerajaan Negeri kepada individu atau kumpulan yang cuba memecahbelahkan dan mengganggu gugat keharmonian agama dan kaum?

    Setakat ini, tiada sebarang kes cubaan daripada mana-mana individu atau kumpulan yang cuba memecahbelahkan dan mengganggu gugat keharmonian agama dan kaum di Negeri Selangor yang dilaporkan secara rasmi. Namun demikian, sekiranya berlaku perkara seumpama ini, tindakan tegas akan diambil oleh Pihak Berkuasa Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.