Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

161) KENDERAAN ELEKTRONIK

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Nushi Bin Mahfodz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan dan sasaran lima tahun kerajaan Selangor untuk memperluaskan stesen pengecasan EV?

    Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan Pemasangan Stesen Pengecas EV di Negeri Selangor yang telah diadakan pada 11 Januari 2024 merancang untuk memasang sekurang-kurangnya 100 unit stesen pengecas EV di setiap PBT berstatus Bandaraya menjelang Oktober 2025.  Kerajaan Negeri Selangor melalui Rancangan Selangor Pertama (RS-1) juga telah mensasarkan pemasangan 1,000 unit stesen pengecas EV di seluruh Negeri Selangor menjelang tahun 2025 dan 4,000 unit menjelang tahun 2030. Inisiatif ini adalah selari dengan dasar di peringkat Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) yang menyasarkan Malaysia mencapai 10,000 unit EVCB dan sifar karbon seawal tahun 2050.

  2. Apakah insentif atau sokongan kerajaan bagi menggalakkan pelaburan swasta dan penglibatan PBT, terutamanya di luar bandar?

    Kerajaan Negeri tidak menghadkan peluang mana-mana syarikat penyedia fasiliti pengecas EV untuk meneroka pelaburan di Negeri Selangor dengan syarat mematuhi kriteria Charger Point Operator (CPO) yang ditetapkan seperti berikut:

    • Keupayaan dalam menyediakan pelaburan dan tenaga kerja yang berkelayakan dalam melaksanakan projek;
    • Boleh menyediakan kemudahan smart technology yang mematuhi piawaian dan standard tempatan serta antarabangsa;
    • Boleh melaksanakan integrasi naik taraf atau piawaian/standard perisian yang baharu;
    • Menyediakan sistem aplikasi pengurusan stesen pengecas EV yang menyeluruh dan inklusif bagi tujuan penambahbaikan kemudahan; dan
    • Mempunyai pasukan teknikal yang kompeten.
  3. Apakah langkah memastikan stesen pengecasan mudah diakses dan patuh piawaian keselamatan?

    Antara langkah untuk memudahkan akses kepada stesen pengecasan ialah pemasangan di tempat letak kereta, stesen minyak, dan kawasan Rehat dan Rawat. Pemilihan lokasi yang mudah dikunjungi adalah amat penting bagi membantu pemilik kenderaan elektrik (EV) mengecas kenderaan mereka. Selain itu, pembangunan aplikasi yang menunjukkan lokasi stesen pengecas EV juga akan membantu pemilik kenderaan elektrik mencari stesen pengecas terdekat dengan lebih mudah.

    Dari segi kepatuhan piawaian, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melalui Garis Panduan Keselamatan Kebaran Bagi Electric Vehicle Charging Bay (EVCB) yang dikeluarkan pada 29 September 2023 telah menggariskan bahawa penempatan stesen pengecas boleh didapati di kawasan berikut:-

    1. Stesen minyak;
    2. Kawasan Rehat dan Rawat;
    3. Kawasan terbuka di luar bangunan; dan
    4. Kawasan terbuka di tempat letak kereta.

Lampiran

Tiada Lampiran.