Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

344) KENDERAAN ELEKTRIK (EV)

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Dr. Quah Perng Fei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah dasar kerajaan untuk dapatkan industri-industri pemasangan, pengilangan kenderaan dan pengeluaran komponen kenderaan elektrik membuka kilang di Selangor?

    Sebagai makluman, industri pembuatan kelengkapan kenderaan adalah salah satu industri tumpuan yang diberikan fokus oleh Kerajaan Negeri dalam usaha untuk menarik pelaburan ke Negeri Selangor. Pada ketika ini terdapat beberapa cadangan pembangunan kilang pembuatan bagi kenderaan EV di Selangor oleh syarikat – syarikat pengeluar kereta seperti Cherry dan Tan Chong.

    Dalam usaha menarik lebih banyak projek – projek pelaburan, Kerajaan Negeri amat menggalakkan pembukaan kawasan – kawasan perindustrian baharu yang kondusif berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP). Sehingga kini sebanyak enam (6) cadangan pembangunan kawasan perindustrian berkonsepkan MIP telah diluluskan di Negeri Selangor dengan keluasan berjumlah 3,384 ekar melibatkan daerah Kuala Langat sebanyak tiga (3) projek, Gombak dengan dua (2) projek dan Klang satu (1) projek.

    Bagi menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik dikalangan rakyat serta menggalakkan pertumbuhan industri EV di Selangor, Kerajaan Negeri telah menggariskan penyediaan ekosistem dan fasiliti EV sebagai salah satu inisiatif dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dengan memperbanyakkan kemudahan stesen pengecasan (Charging Station) di sekitar Selangor.

  2. Apakah langkah atau dasar untuk mengitar semula bateri kenderaan elektrik?

    Dalam penyediaan ekosistem dan fasiliti EV, aspek pengurusan bahan-bahan buangan berkaitan EV perlu diambil kira sebaik mungkin. Ini bertujuan bagi menyelesaikan masalah lambakan sisa bateri yang dijangka akan meningkat apabila penggunaan EV semakin diterima masyarakat. Oleh itu, kaedah pelupusan dan pengurusan secara mesra alam seperti kitar semula sisa bateri sangat diperlukan.

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bateri kenderaan elektrik (Electric Vehicles, EV) adalah dikategorikan sebagai Buangan Terjadual di bawah kod SW103 dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974. Di Negeri Selangor, terdapat tiga (3) buah premis kitar semula yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar untuk mengitar semula bateri ini. Buat masa ini, Kerajaan Negeri masih belum mempunyai kaedah/mekanisme untuk mengitar semula bateri EV ini. Walau bagaimanapun, berdasarkan peningkatan penggunaan kenderaan EV pada masa ini, Kerajaan Negeri berpandangan bahawa dasar bagi menguruskan bateri kenderaan EV wajar diwujudkan bagi memastikan kelestarian alam sekitar dalam tempoh jangka masa Panjang.

Lampiran

Tiada Lampiran.