Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

21) KENDERAAN ELEKTRIK

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan melalui PBT dan agensi-agensi bercadang untuk memulakan penggunaan kenderaan elektrik termasuk motosikal elektrik dalam urusan harian memandangkan ianya mempunyai lebih banyak kebaikan daripada keburukan dan Malaysia mempunyai pengeluar motosikal dan kenderaan elektrikal sendiri?

    Malaysia telah menetapkan aspirasi negara untuk mencapai gas rumah kaca (GHG) sifar bersih seawal tahun 2050. Dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) turut memberi penekanan terhadap agenda pertumbuhan hijau bagi memastikan perancangan pembangunan negara mengambil kira kelestarian alam sekitar dan seterusnya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara rendah karbon. Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (Low Carbon Mobility Blueprint) 2021-2030 (LCMB) yang dibangunkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air dan Kementerian Pengangkutan telah menetapkan fokus utama berkaitan dengan kenderaan mesra alam iaitu pengurangan penggunaan tenaga dan pelepasan GHG melalui penggunaan mobiliti elektrik.

    Sejajar dengan LCMB, Kerajaan kini menumpukan kepada pembangunan kenderaan elektrik (EV) dengan menawarkan pelbagai insentif cukai bertujuan menggalakkan aktiviti pemasangan dan pengilangan kenderaan, pengeluaran komponen berkaitan EV serta perkhidmatan teknologi hijau.

    Negeri Selangor turut berhasrat menjadi negeri peneraju dalam penggunaan kenderaan elektronik (EV). Dalam ucapan Belanjawan Negeri Selangor 2021, Kerajaan Negeri telah mengumumkan insentif galakan penggunaan kenderaan elektrik dan turut bercadang untuk menyediakan 1,000 pengecas EV menjelang tahun 2023 dengan kerjasama pihak swasta. Penyediaan infrastruktur yang bersepadu ini akan menjadikan negeri Selangor sebagai pelopor menggunakan kenderaan elektrik. Perkembangan pesat EV bukan hanya berlaku pada kenderaan biasa dan perdagangan, malah motorsikal elektrik turut mendapat permintaan dalam pasaran memandangkan ianya lebih praktikal dan prestasinya yang lebih cekap.

    Kenderaan elektrik termasuk motorsikal elektrik telah mula diterima masyarakat sebagai salah satu bentuk pengangkutan yang berupaya dan praktikal terutamanya di kawasan bandar. Setakat ini, antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang bercadang dan telah melaksanakan inisiatif kenderaan elektrik termasuk motorsikal adalah:

    Kerajaan Negeri dengan kerjasama PBT kini memacu ke arah mewujudkan bandar rendah karbon dengan menggariskan elemen utama mobiliti hijau dalam Pelan Tindakan Bandar Rendah Karbon di peringkat PBT. Peranan aktif PBT dalam memulakan inisiatif mobiliti hijau amatlah dituntut ke arah negeri Selangor lebih hijau dan lestari.

Lampiran

Tiada Lampiran.