Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011
11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011
119) KENAIKAN TARIF ELEKTRIK
Tahun: 2011
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Kesan dari kenaikan tarif elektrik turut membebankan rakyat Selangor. Sejauh manakah kesan dari peningkatan kos operasi kilang-kilang kepada hasil negeri Selangor?
Secara dasarnya peningkatan tarif elektrik memberi kesan kepada seluruh rakyat termasuk pihak industri. Bagaimanapun, tarif purata yang meningkat sebanyak 7.12 peratus ini disebabkan oleh kenaikan purata 5.12 peratus berikutan peningkatan sebanyak 28 peratus harga gas asli di sektor tenaga, daripada RM10.70/mmBTU kepada RM13.70/mmBTU. Selain itu, kenaikan purata 2.0% juga adalah untuk menampung sebahagian daripada peningkatan kos pembekalan elektrik sejak Jun 2006.
Bagi sektor perindustrian, kenaikan purata adalah sebanyak 8.35 peratus (dalam lingkungan 6.2 peratus sehingga sekitar 10 peratus).
Bagi pengguna Tarif Industri Khas (Special Industrial Tariff, SIT) akan mengalami peningkatan sekitar 10%. Ini selaras dengan hasrat Kerajaan untuk mengurangkan pemberian subsidi kepada industri secara berperingkat-peringkat. Walaupun dengan peningkatan kadar tarif ini, pengguna SIT akan terus menikmati kadar tarif yang masih lebih rendah jika dibandingkan dengan kadar tarif pengguna perindustrian biasa.
Walaupun berlaku kenaikan kepada kos pengeluaran pihak syarikat, ianya tidak memberikan kesan yang ketara kepada hasil Kerajaan Negeri kerana pada masa ini hasil yang diperolehi daripada para pekilang hanyalah dari segi cukai pintu yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.
-
Adakah peningkatan tarif elektrik mengurangkan minat pelabur-pelabur ke negeri Selangor?
Secara dasarnya, kenaikan tarif elektrik menyebabkan peningkatan secara langsung kepada kos pelaburan di Negeri Selangor. Walaubagaimanapun, kesan terhadap kenaikan ini sukar untuk dinilai pada masa ini kerana ianya baru sahaja dilaksanakan iaitu pada 1 Jun 2011.
-
Adakah kerajaan Selangor akan mengurangkan cukai bagi industri perkilangan bagi meringankan beban?
Secara dasarnya pihak Kerajaan Negeri tiada perancangan untuk mengurangkan kadar cukai bagi industri perkilangan kerana cukai yang boleh dipungut oleh Kerajaan Negeri hanyalah melibatkan cukai pintu yang dikenakan melalui Pihak Berkuasa Tempatan.