Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

228) KENAIKAN HARGA BARANG

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah proaktif kerajaan untuk memastikan peniaga-peniaga tidak menaikkan harga barangan sesuka hati kerana penarikan subsidi diesel oleh Kerajaan Persekutuan?

    Langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan bagi memastikan peniaga-peniaga tidak menaikkan harga barangan sesuka hati adalah dengan mengadakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan bagi menetapkan harga maksimum untuk barangan tertentu pada tempoh tertentu.

    Antara langkah lain yang digunakan oleh Kerajaan Negeri melalui kerjasama di antara Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam melaksanakan Inisiatif Jualan Ehsan RAHMAH (JER) yang bermula pada Jun 2023. JER telah menawarkan 6 barangan keperluan asas (ayam, daging, telur, minyak masak dan ikan) yang dijual dengan harga jauh lebih murah daripada pasaran di mana pengurangan harga ini merupakan subsidi yang ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan melalui KPDN

    Manakala bagi Jualan RAHMAH; pelbagai barangan keperluan harian yang terdiri daripada barang makanan dan barang bukan makanan telah ditawarkan di mana pengurangan harga barangan antara 10% sehingga 30% berbanding harga pasaran semasa berdasarkan tempat untuk dinikmati oleh rakyat Malaysia khususnya di Selangor yang bertujuan untuk membantu meringankan bebanan rakyat terhadap isu kenaikan harga barang makanan dan keperluan harian. Jualan RAHMAH ini melibatkan jualan di premis yang terpilih di 22 Parlimen dan 56 DUN dalam Negeri Selangor

    Sehingga Jun 2024, sebanyak 1,227 kali Jualan RAHMAH telah dilaksanakan dengan anggaran kos subsidi yang terlibat adalah sebanyak RM10.5 juta. Jumlah ini adalah bagi membantu 2.98 juta rakyat Selangor agar dapat menikmati harga barangan keperluan harian dan mengimbangi perbelanjaan kos sara hidup yang semakin meningkat.

    Kerjasama rapat dengan kementerian terutama sekali Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam memastikan pengeluaran makanan dan barang keperluan lain dijamin bekalan dan stabil harganya. Libat urus berterusan dengan industri, pengeluar, pengimport pemborong, peruncit, persatuan pengguna dan lain-lain pihak berkaitan, tetap dijalankan dari masa ke semasa tanpa gagal.

    Kementerian sentiasa memantau isu kenaikan harga mendadak yang berlaku melalui pemantauan dan pemeriksaan secara langsung ke atas premis yang mengalami isu tersebut. Mana-mana peniaga yang didapati menaikkan harga barangan secara melampau, notis bertulis akan dikeluarkan kepada peniaga dan sekiranya selepas dianalisa didapati mencatut, kesalahan dibawah Seksyen 14 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 boleh diambil ke atas mereka.

    Walaubagaimanapun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan yang rapi sepanjang masa dalam memastikan kestabilan harga di pasaran.

    Antara tindakan-tindakan yang telah diambil adalah:

    1. Mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebagai Kementerian yang memantau bekalan keperluan pengguna di peringkat huluan supaya sentiasa mencukupi untuk pasaran tempatan;
    2. melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina, Pesta Kaamatan, Hari Gawai, Deepavali dan Krismas;
    3. menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi mengawal pengambilan untung secara tidak munasabah oleh peniaga;
    4. menguatkuasakan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2022 bagi memastikan peniaga meletakkan tanda harga;
    5. menguatkuasakan Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi memastikan keberadaan bekalan di pasaran
    6. melaksanakan “OPS KESAN” 2.0 bagi memastikan tidak berlaku elemen pencatutan terhadap harga barang dan perkhidmatan susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel;
    7. melaksanakan “OPS SAMAR” melalui penyamaran yang dilakukan oleh Pegawai-Pegawai Penguat Kuasa;
    8. menjalankan siasatan aduan susulan aduan yang diterima daripada peniaga, dan
    9. mengadakan sesi libat urus bersama pemain Industri bagi membincangkan kestabilan harga dan keberadaan bekalan di pasaran dan pada masa yang sama pihak industri tidak menaikkan harga tanpa memaklumkan kepada pihak Kementerian supaya tidak membebankan pengguna.

Lampiran

Tiada Lampiran.