Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

152) KENAIKAN HARGA BARANG

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Perancangan Kerajaan Negeri dalam usaha untuk menstabilkan kenaikan harga barang keperluan harian.

    Yang Berhormat sekalian, untuk makluman terdapat beberapa faktor yang menyumbang atau menyebabkan kenaikan harga barang secara mendadak. Antara faktor-faktor bagi kenaikan harga barang adalah:

    i) Situasi perubahan harga yang mula dihadapi dalam negara adalah susulan daripada berlakunya kenaikan harga bahan mentah makanan secara global (dunia), kesan ini turut dirasai di dalam negara kita Malaysia, yang mana dapat dilihat berlaku pergerakan harga yang agresif (menunjukkan kenaikan) terhadap barangan dalam kumpulan makanan khususnya.

    ii) Dalam masa sama, faktor-faktor lain yang turut yang menyumbang kepada pergerakan harga yang agresif seperti:

     

    • Perubahan cuaca dan bencana dalam Negara;
    • Perubahan cuaca dan bencana di Negara pengeluar contohnya China yang menganggu harga sayuran diimport;
    • Kadar/nilai matawang Negara dengan Negara pengeksport;
    • Peningkatan harga bahan import seperti makanan ayam (soya dan jagung);
    • Peningkatan kos pengeluaran dan logistik;
    • Kekurangan tenaga kerja termasuk buruh asing yang menyebabkan berlaku gangguan dalam pengeluaran hasil ladang dan tani; dan
    • Peningkatan harga komoditi di pasaran global (sawit); dan kadar inflasi.

     

    Tidak dapat disangkal, inisiatif prihatin rakyat yang dilaksanakan di Selangor melalui Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) menghasilkan impak positif dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat mendapatkan barangan asas pada harga hingga 30 peratus lebih rendah dari pasaran. Inisiatif ini akan terus dinilai keperluan pelaksanaannya dari semasa ke semasa demi melindungi komuniti pengguna dalam cabaran ini.

    Dalam usaha menstabilkan kenaikan harga barang keperluan harian, Kerajaan Negeri bekerjasama dan menyokong kempen-kempen seperti Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang dilaksanakan sebanyak enam (6) kali setahun dan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia bagi menetapkan harga maksimum untuk barangan tertentu pada tempoh tertentu seperti yang telah dilaksanakan pada tahun 2022.

    Kerajaan persekutuan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga baru-baru ini telah mengumumkan harga maksimum runcit minyak masak kelapa sawit tulen berkuatkuasa sehingga 7 April 2023. Ini merupakan komitmen kerajaan untuk terus membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup dan menangani isu kenaikan harga bagi mengelakkan kesan kepada pengguna.

    KPDN Selangor akan sentiasa memantau isu kenaikan harga mendadak yang berlaku melalui pemantauan dan pemeriksaan secara langsung ke atas premis yang mengalami isu tersebut.

    Dari sudut penguatkuasaan pula, mana-mana peniaga yang didapati menaikkan harga barangan secara tidak munasabah boleh diambil tindakan di bawah kesalahan pencatutan, di bawah Akta Kawalan Harga 2011.

Lampiran

Tiada Lampiran.