Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

28 Mac hingga 31 Mac 2011 dan 01 April 2011

19) KENAIKAN GAJI PEGAWAI-PEGAWAI KERANI KAWASAN BAWAH ADUN DAN PEKERJA-PEKERJA KERAJAAN NEGERI SELANGOR PADA KESELURUHANNYA

Tahun: 2011

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Edward Lee Poh Lin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Pernahkah kerajaan negeri mengkaji semula gaji-gaji bagi pegawai-pegawai kerani kawasan bawah ADUN-ADUN dan bagi pekerja-pekerja kerajaan Negeri Selangor?

    Pelarasan kenaikan gaji anggota perkhidmatan awam tertakluk kepada pindaan skim perkhidmatan yang standard dan kajian komprehensif berhubung aspek saraan (termasuk emolumen bulanan, elaun, insentif dan kebajikan) anggota perkhidmatan awam diselaraskan sepenuhnya oleh  Jabatan  Perkhidmatan Awam

    Namun yang demikian, pelarasan kenaikan gaji atau pemberian elaun  atau insentif khas kepada skim perkhidmatan dilaksanakan dari semasa ke semasa berdasarkan kesesuaian serta tahap kritikal sesuatu skim perkhidmatan yang terlibat.

     

  2. Bilakah kali terakhir gaji-gaji pekerja-pekerja kerajaan negeri telah dinaikkan dan berapa banyak?

    Kerajaan negeri telah melaksanakan pelarasan kenaikan gaji anggota perkhidmatan awam yang terkini pada 1 Julai 2007 lalu berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7 Tahun 2007 ‘Pemberian Kenaikan Gaji Kepada Pegawai Perkhidmatan Awam di Bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM)’. Pelarasan kenaikan gaji ini melibatkan semua skim

    Pada masa yang sama, kerajaan negeri juga telah menambah baik beberapa  skim perkhidmatan sedia ada berdasarkan keperluan semasa iaitu:

    • Skim Perkhidmatan Pembantu Laut;
    • Skim Perkhidmatan Pembantu Tadbir Rendah dan Operator Mesin Prosesan Data;
    • Skim Perkhidmatan Jaga;
    • Skim Perkhidmatan Pegawai Penyediaan Makanan dan Perkhidmatan Tukang Masak;
    • Skim Perkhidmatan Pembantu Rendah Hal Ehwal Islam;
    • Skim Perkhidmatan Penghulu;
    • Skim Perkhidmatan Penolong Pegawai Tanah; dan
    • Skim Perkhidmatan Pembantu Setiausaha Pejabat / Setiausaha

     

  3. Adakah kerajaan negeri akan menaikkan gaji-gaji pekerja-pekerja kerajaan negeri?

    Pentadbiran Kerajaan Negeri akan melaksanakan pelarasan atau kenaikan gaji anggota perkhidmatan awam berdasarkan penetapan skim dan jadual gaji yang diselaraskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) dan Sistem Saraan Malaysia (SSM)

     

Lampiran

Tiada Lampiran.