Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

182) KENAIKAN BIL AIR

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah aduan berkenaan kenaikan bil air sehingga kini dan apakah penjelasan dari Air Selangor?

    Jumlah aduan kenaikan bil air Januari sehingga Mei 2020 adalah seperti berikut:

    Bulan Jan 20 Feb 20 Mac 20 Apr 20 Mei 20
    Jumlah aduan 4,653 5,847 4,416 4,999 25,697

    Kenaikan ketara jumlah aduan bil pada bulan Mei disebabkan peningkatan penggunaan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 oleh para pengguna.  Dalam tempoh PKP ini juga, Air Selangor tidak melaksanakan bacaan meter sehingga 1 Mei 2020 dan mengeluarkan bil anggaran sahaja.

    Bacaan meter sebenar di premis pelanggan dilaksanakan semula pada 2 Mei 2020 dan menunjukkan peningkatan penggunaan.  Walau bagaimanapun, Air Selangor telah membuat pelarasan semula bil air semasa PKP di dalam bil air bulan Jun dan Julai 2020 untuk membantu para pengguna menangani isu bil air tinggi berikutan kadar tarif bagi penggunaan di band ketiga telah dikenakan kepada pengguna yang menggunakan air melebihi 35 meter padu sebulan.

  2. Adakah Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk memberi subsidi sebagai salah satu cara untuk mengurangkan beban kepada pemilik akaun Air Selangor?

    Semenjak Jun 2008, Kerajaan Negeri telah memberikan subsidi melalui Program Air Percuma 20 meter padu kepada rakyat Negeri Selangor dalam membantu mengurangkan beban pengguna di Negeri Selangor. Sepanjang pelaksanaan program ini, Kerajaan Negeri telah memberikan kemudahan ini kepada semua penduduk Negeri Selangor tanpa mengira lapisan masyarakat dan pendapatan walaupun matlamat asal program ini adalah bertujuan untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat untuk semua lapisan masyarakat khususnya kepada golongan berpendapatan rendah di seluruh Selangor.  Mulai pada 01 Mac 2020, Kerajaan Negeri meneruskan pemberian subsidi ini melalui Program Skim Air Darul Ehsan (SADE) diberikan khusus kepada golongan sasar dalam kumpulan berpendapatan di bawah RM4,000.00.

Lampiran

Tiada Lampiran.