Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

138) KEMUFLISAN DALAM KALANGAN RAKYAT SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah penduduk Negeri Selangor yang telah diisytiharkan muflis sehingga kini?

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia, terdapat sejumlah 11,443 kes kebankrapan di Negeri Selangor bermula dari tahun 2018 sehingga Mei 2022 dengan pecahan; 4,191 kes pada tahun 2018, 3,088 kes pada tahun 2019, 1,900 kes pada tahun 2020, 1,789 kes pada tahun 2021 dan 475 kes pada tahun 2022 sehingga bulan Mei.

  2. Apakah perancangan Kerajaan Negeri bagi membantu golongan ini membina semula kehidupan mereka?

    Jabatan Insolvensi Malaysia Negeri Selangor telah mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan kadar kebankrapan pada masa kini. Namun, cara yang terbaik untuk mengelak daripada kebankrapan ialah melalui kesedaran masyarakat tentang risiko atau kesan daripada perintah kebankrapan. Kesedaran ini dapat diterap melalui pendidikan dan pendekatan perbelanjaan yang berhemah.

     

    Bagi membantu mengurangkan kadar kebankrapan, Jabatan ini telah melaksanakan pelbagai program bagi mewujudkan kesedaran masyarakat tentang isu muflis dengan melaksanakan program bersama masyarakat (outreach programme) serta MdI Prihatin. Program ini bertujuan untuk menyampaikan maklumat, memberikan pendidikan dan mewujudkan kesedaran kepada orang awam termasuklah taklimat dan ceramah kesedaran mengenai isu kebankrapan kepada agensi-agensi awam, swasta, orang awam dan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta bagi menerangkan kesan dan akibat daripada perintah kebankrapan supaya masalah ini dapat ditangani di peringkat awal lagi. Sebagai contoh terkini, Jabatan Insolvensi Malaysia Negeri Selangor telah menyampaikan taklimat di dalam Program SMARTBelanja@LPPKN secara dalam talian pada 6 Julai 2022 dan taklimat Pengurusan Kewangan Yang Berkesan anjuran Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara pada 7 Julai 2022.

     

    Selanjutnya, Jabatan Insolvensi Malaysia juga turut meminda peruntukan perenggan 5(1)(a) Akta Insolvensi 1967 [Akta 360] melalui Akta Insolvensi (Pindaan) 2020 [Akta A1624] yang telah diwartakan pada 22 Oktober 2020 dan berkuat kuasa sejak 1 September 2021. Pindaan ini adalah untuk menetapkan nilai had minima keberhutangan kepada RM100,000.

     

    Selain itu, Kerajaan juga melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) iaitu sebuah agensi di bawah Bank Negara Malaysia telah mengadakan program-program untuk memberi kesedaran tentang isu muflis. Program ini juga melibatkan perancangan kewangan kepada semua golongan supaya dapat menangani masalah pengurusan kewangan di peringkat pra kebankrapan. Pengurusan kewangan yang berhemah akan menjamin kedudukan kewangan di tahap yang terbaik. Melalui program ini akan dapat membantu golongan muda khususnya untuk berbelanja secara berhemah dan bijak dalam pengurusan kewangan bagi mengelakkan kemuflisan.

Lampiran

Tiada Lampiran.