Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

165) KEMUDAHAN UNTUK GOLONGAN OKU

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Yew Jia Haur

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah penyediaan kemudahan golongan OKU seperti jalan tanjak diwajibkan di dalam syarat pembinaan premis perniagaan/ perkhidmatan di dalam Negeri Selangor?

    Seksyen 34A(1) Pindaan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UKBS) 1984 mewajibkan semua bangunan awam menyediakan akses bagi membolehkan Orang Kurang Upaya (OKU) memasuki, keluar dan berada dalam bangunan dan menyediakan kemudahan-kemudahan berkaitan untuk digunakan oleh OKU.

    Oleh itu, penyediaan kemudahan OKU seperti laluan khas (jalan tanjak dan step ramp) , tandas khas OKU dan ruang parkir khas OKU merupakan syarat wajib yang ditetapkan oleh setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam pertimbangan kelulusan pelan pembangunan iaitu Pelan Kebenaran Merancang dan Pelan Bangunan.

    Syarat-syarat penyediaan kemudahan OKU ini diguna pakai oleh semua PBT melalui penggunaan Garis Panduan Perancangan Reka Bentuk Sejagat (Universal Design) yang dibangunkan oleh PLANMalaysia pada tahun 2011. Garis Panduan ini memberi penekanan terhadap aplikasi konsep reka bentuk sejagat dalam merancang kemudahan-kemudahan dan persekitaran bandar yang boleh diakses oleh semua golongan individu.

    Garis Panduan ini meliputi perancangan kemudahan di luar bangunan dan di dalam bangunan termasuklah bangunan awam dan komersial, terminal pengangkutan awam, tempat letak kereta, kawasan rekreasi dan sebagainya. Garis Panduan ini telah dibangunkan berdasarkan kepada Malaysian Standard (MS) yang dihasilkan oleh Jabatan Standard Malaysia.

Lampiran

Tiada Lampiran.