Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

381) KEMUDAHAN SUKAN DI DUN SUNGAI KANDIS

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Wan Dzahanurin Bin Ahmad

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah bilangan dewan / kompleks / kemudahan sukan yang terdapat di DUN Sungai Kandis? Sila nyatakan mengikut PBT dan MPKK

    Salah satu usaha Kerajaan Negeri untuk menggalakkan masyarakat terlibat dengan aktiviti kesukanan dan mengamalkan gaya hidup yang sihat adalah dengan menyediakan kemudahan sukan di setiap DUN Negeri Selangor. Sehubungan dengan itu, beberapa kemudahan sukan telah dibina untuk kegunaan penduduk di DUN Sungai Kandis seperti berikut :

    Bil Kemudahan Sukan Bilangan
    1 Dewan Serbaguna

    –       Badminton

    –       Takraw

    1
    2 Taman Permainan/ Rekreasi

    –       Badminton

    –       Takraw

    –       Bola keranjang

    –       Gelanggang serbaguna

    99

     

    Bil Kemudahan Sukan Bilangan
    3 Gelanggang futsal 11
    4 Padang futsal (rumput) 2
    5 Padang bola sepak 11
  2. Bagaimanakah cara memohon baik pulih kemudahan sukan (seperti gelangang futsal, gelanggang badminton dan lain-lain)?

    Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) telah menjalankan program menaiktaraf, membaikpulih dan membina baru infrastruktur sukan sejak tahun 2021. Secara dasarnya pihak DUN perlu mengemukakan permohonan lengkap melalui Pihak Berkuasa Tempat (PBT) atau Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) bagi menaiktaraf kemudahan sukan di DUN masing-masing. Seterusnya pihak PBT atau PDT perlu mengemukakan permohonan kepada pihak MSNS bersama-sama senarai kuantiti (BQ) sebagai panduan pihak MSNS untuk menyemak keperluan dan had limit peruntukan. Perlantikan kontraktor dan pemantauan kerja hingga siap akan dilakukan oleh pihak MSNS. Manakala kerja penyelenggaraan selepas siap kerja akan dijalankan oleh pihak PBT atau PDT kawasan masing-masing.

  3. Berapakah peruntukan baik pulih kemudahan sukan yang disediakan untuk DUN Sungai Kandis?

    Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan tahunan kepada Majlis Sukan Negeri Selangor bagi program membaikpulih, menaiktaraf dan membina baru infrastruktur sukan yang mana peruntukan ini diluluskan berdasarkan kedudukan kewangan semasa Kerajaan Negeri.

    Bermula tahun 2021 hingga 2023 peruntukan bagi program ini adalah berjumlah RM2,240,000.00/setahun dan pada tahun 2024 peruntukan adalah RM1,000,000.00 yang mana peruntukan ini untuk semua Dun dalam Negeri Selangor termasuk Dun Sungai Kandis. Melalui program tersebut Kerajaan Negeri telah menjalankan kerja membaikpulih gelanggang serbaguna di Taman Nakhoda DUN Sungai Kandis pada tahun 2021 dengan peruntukan berjumlah RM75,136.40.

    Walau bagaimanapun, pada tahun 2025 tiada peruntukan bagi program tersebut kerana keutamaan peruntukan adalah untuk menaiktaraf dan membina baru kemudahan sukan yang terlibat dengan kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026. Negeri Selangor akan menjadi tuan rumah bagi temasya tersebut dan persediaan awal perlu dilakukan seperti menyediakan infrastruktur sukan yang lengkap.

    Namun begitu, Kerajaan Negeri akan menyemak semula permohonan untuk membaikpulih kemudahan sukan di DUN Sungai Kandis. Sekiranya terdapat kemudahan sukan yang kritikal tindakan selanjutnya akan diambil dan pelaksanaannya bergantung kepada peruntukan semasa.

Lampiran

Tiada Lampiran.