Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
3) KEMUDAHAN SUKAN
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapa banyak kemudahan sukan yang telah dibangunkan di Dun Bukit Lanjan dalam lima tahun terakhir? Apakah rancangan untuk meningkatkan atau menambah kemudahan sukan di kawasan ini dalam tempoh terdekat?
Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) telah menjalankan program membaikpulih, menaiktaraf dan membina baru infrastruktur sukan bagi memastikan kemudahan sukan tersebut dalam keadaan baik dan selamat digunakan oleh masyarakat. Melalui program tersebut Kerajaan Negeri telah menjalankan kerja membaikpulih gelanggang sepak takraw di Jalan 26 Taman Desa Jaya, Kepong Dun Bukit Lanjan dan kerja memagar gelanggang badminton di kawasan rumah pangsa Rampai Idaman, Prima Damansara Dun Bukit Lanjan pada tahun 2022. Lima tahun terakhir ini lebih kurang 19 buah kemudahan sukan telah dibangunkan di Dun Bukit Lanjan yang terdiri daripada 5 buah gelanggang futsal, 10 buah gelanggang bola keranjang, 3 buah gelanggang sepak takraw dan sebuah padang bola sepak.
Buat masa ini Kerajaan Negeri lebih menumpukan kepada program menaiktaraf dan membaikpulih kemudahan sukan sedia ada di seluruh Negeri Selangor agar ianya dapat digunakan oleh masyarakat untuk melakukan aktiviti sukan dan beriadah. Walau bagaimanapun, penambahan kemudahan sukan akan dikaji semula keperluannya dan pelaksanaannya bergantung kepada peruntukan semasa tahunan.
-
Apa inisiatif yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kesedaran tentang gaya hidup sihat dalam kalangan belia di DUNBukit Lanjan, terutamanya melalui aktiviti sukan?
Kerajaan sentiasa menitikberatkan aspek kesihatan dan gaya hidup sihat dalam pentadbiran negeri dengan menganjurkan pelbagai program yang menjurus ke arah tersebut. Salah satu inisiatif Kerajaan Negeri adalah dengan melibatkan PBT dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti berunsurkan gaya hidup sihat di dalam kawasan pentadbiran masing-masing. Sebagai contoh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) merupakan salah satu PBT di Dun Bukit Lanjan yang menganjurkan Hari Tanpa Kenderaan pada setiap bulan untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan menggalakkan rakyat untuk bersukan melalui aktiviti fun run, senam robik, zumba dan sebagainya.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyokong penganjuran Bulan Sukan Negara bagi mempromosikan gaya hidup sihat dan mengajak rakyat untuk lebih kerap bersukan pada bulan penganjuran tersebut. Pelbagai aktiviti sukan telah dianjurkan untuk menarik minat masyarakat terutamanya golongan belia seperti aktiviti sukan bolasepak, bola jaring dan lain-lain.
-
Adakah perancangan penyaluran peruntukan untuk membina kemudahan sukan seperti gelanggang "pickle ball'?
Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memberi peruntukan ke atas usaha-usaha bagi meningkatkan kemudahan sukan untuk menggalakkan masyarakat menjalankan aktiviti sukan dan rekreasi. Pada masa kini, sukan pickleball semakin dikenali dan menjadi pilihan masyarakat untuk aktiviti masa lapang. Permainan pickleball boleh menggunakan gelanggang badminton atau takraw untuk aktiviti sukan tersebut yang mana saiz gelanggangnya adalah sama.
Buat masa ini Kerajaan Negeri lebih menumpukan kepada program menaiktaraf dan membaikpulih kemudahan sukan sedia ada di seluruh Negeri Selangor agar ianya dapat berfungsi dengan baik dan selamat digunakan oleh masyarakat. Walau bagaimanapun, penyaluran peruntukan untuk membina gelanggang pickleball akan dikaji semula keperluannya dan pelaksanaannya bergantung kepada peruntukan semasa tahunan.