Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

237) KEMUDAHAN PENGANGKUTAN AWAM PERCUMA

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan kawasan liputan pengangkutan awam percuma yang telah disediakan oleh kerajaan negeri?

    Program Pengangkutan Awam Percuma telah berjaya direalisasikan oleh

    Kerajaan Negeri bersama-sama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu di  Shah Alam oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Petaling Jaya oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Kawasan liputan pengangkutan awam percuma yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut:

    • Shah Alam :

    Bermula di Hentian Pusat Bandar Shah Alam, Seksyen 14 dan melalui Seksyen 2, 7, 11, 14, 15, 16, 17 dan 18.

    • Petaling Jaya :

    Melalui PJS dan laluan PJU yang merangkumi kawasan Kota Damansara

  2. Adakah kerajaan negeri bercadang untuk memperluaskan skim pengangkutan percuma ini di kawasan luar bandar?

    Kerajaan Negeri akan memastikan kawasan luar bandar diberi perhatian dan pertimbangan dalam penyediaan perkhidmatan bas awam. Bagi penyediaan pengangkutan awam percuma, Kerajaan Negeri dan PBT yang terlibat perlu memberi penelitian yang rapi kerana melibatkan kos dan pelaburan tinggi yang perlu ditanggung oleh PBT di daerah. Namun begitu, melalui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Kerajaan Negeri telah melibatkan kawasan-kawasan luar bandar seperti daerah Kuala Langat, Sabak Bernam dan Hulu Selangor bagi projek penambahbaikan perkhidmatan bas henti-henti (Commuter Bus Improvement Project-CBIP). Projek ini sedang dilaksanakan secara berperingkat dan daerah Kuala Langat dipilih sebagai projek perintis yang kini dalam peringkat akhir sebelum dilancarkan dan dijangka dilaksanakan pada tahun hadapan. Manakala projek CBIP bagi daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor masih dalam peringkat kajian pelan dan rangkaian operasi.

Lampiran

Tiada Lampiran.