Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
130) KEMUDAHAN PENGANGKUTAN AWAM
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Datuk Abdul Rashid Bin Asari
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk meningkatkan sistem pengangkutan awam di Selangor?
Kerajaan Negeri Selangor sentiasa komited untuk meningkatkan sistem pengangkutan awam di Selangor dan sentiasa memfokuskan kepada aspek ketersambungan (connectivity) pengangkutan awam dalam usaha untuk meningkatkan capaian first mile last mile pengangkutan awam negeri. Kerajaan Negeri telah melaksanakan inisiatif Bas Smart Selangor yang telah dimulakan sejak tahun 2015 serta dalam proses untuk melaksanakan inisiatif Demand-Responsive Transit (DRT) bagi menyokong sistem pengangkutan awam negeri. Kerajaan Negeri juga dalam proses pelaksanaan penggunaan bas elektrik untuk menggantikan penggunaan bas berenjin diesel bertujuan untuk menyokong dasar Kerajaan ke arah mencapai pelepasan karbon sifar bersih dan pembinaan pejalan kaki yang menghubungkan lokasi tumpuan dengan pengangkutan awam untuk menggalakkan pengguna menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.
Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga dalam proses untuk membangunkan Pelan Induk Mobiliti Negeri Selangor bagi mengenalpasti keperluan semua aspek dalam sistem pengangkutan awam negeri dan membangunkan satu garis panduan bersepadu yang boleh dijadikan sumber rujukan agensi ke arah penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih baik.
-
Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk memperkenalkan lebih banyak laluan bas menghubungkan kawasan luar bandar dengan bandar utama?
Kerajaan Negeri Selangor mengambil maklum keperluan untuk mewujudkan satu sistem pengangkutan awam lengkap yang boleh menghubungkan antara kawasan luar bandar dan bandar-bandar utama. Melalui Pelan Induk Mobiliti Selangor yang sedang dibangunkan, ia akan memudahkan Kerajaan Negeri untuk mengenalpasti keperluan perkhidmatan pengangkutan awam negeri yang akan membantu melancarkan pergerakan pengguna termasuk pengguna dari kawasan luar bandar ke kawasan bandar-bandar utama. Selain daripada itu, pihak PBT juga sentiasa melaksanakan kajian untuk mengenalpasti keperluan pertambahan laluan-laluan bas berdasarkan permintaan pengguna, termasuk laluan dari kawasan luar bandar ke kawasan bandar-bandar utama.
Selain daripada perkhidmatan bas, cadangan pembangunan Jajaran Rel Selangor juga adalah salah satu inisiatif Kerajaan Negeri untuk menghubungkan kawasan luar bandar ke kawasan bandar-bandar utama, yang akan membantu mobilisasi pengguna secara harian.