Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014
290) KEMUDAHAN ORANG KURANG UPAYA (OKU)
Tahun: 2014
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan kemudahan yang disediakan untuk golongan OKU di bangunan kerajaan dan GLC negeri?
Pelbagai usaha telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam memastikan golongan OKU dapat menikmati dan mengakses kemudahan yang disediakan sama ada di bangunan-bangunan kerajaan dan GLC negeri. Bagi bangunan kerajaan sedia ada, Kerajaan Negeri telah menetapkan supaya setiap bangunan dinaiktaraf untuk mudah diakses oleh golongan OKU seperti tandas, TLK, ramp dan sebagainya serta menyediakan kaunter khas bagi memudahkan golongan OKU berurusan di kaunter.
Bagi bangunan swasta pula, Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan mengeluarkan notis arahan kepada pemilik bangunan, iaitu di pasar raya dan kawasan komersial untuk menyediakan kemudahan asas seperti tandas, TLK, ramp dan laluan pejan kaki bertanda bagi kemudahan golongan ini.
Manakala bagi pembangunan baru, setiap pemaju perumahan telah disyaratkan untuk menyediakan kemudahan OKU di setiap projek pembangunan perumahan melalui syarat pemberian kelulusan di peringkat pelan kebenaran merancang (Jabatan Perancang) dan pelan bangunan (Jabatan Bangunan) di setiap PBT. Ianya perlu dipatuhi oleh setiap kontraktor sebagaimana yang telah digariskan dalam pindaan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam (UKBS) 1984 melalui Seksyen 34A. Dengan kemudahan-kemudahan yang telah disediakan ini, Negeri Selangor akan terus memastikan keperluan golongan OKU tidak dipinggirkan dalam semua aspek dan akan memastikan mereka mendapat hak yang sama seperti masyarakat normal.
Selain daripada itu, beberapa kemudahan asas seperti tempat meletak kenderaan OKU telah disediakan bagi kemudahan golongan ini mengakses serta berdekatan dengan pintu masuk, penyediaan ramp yang menepati piawaan antarabangsa, tandas khas kepada OKU dan pelekat kenderaan OKU bagi memudahkan golongan ini meletak kenderaan di dalam ruang tempat letak kenderaan yang dikhaskan untuk OKU dengan pengecualian bayaran.
-
Apakah dasar kerajaan tentang penyediaan kemudahan untuk OKU di premis milik kerajaan dan swasta?
Dasar kerajaan tentang penyediaan kemudahan untuk OKU adalah mengikut piawaai Malaysia MS1183, MS 1184, MS 1331 dan juga beberapa garis panduan yang telah ditetapkan dan dikeluarkan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan, Jabatan Perancang dan Desa dan juga Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976.
-
Nyatakan pihak yang bertanggungjawab memantau kemudahan OKU yang disediakan?
Pemantauan ke atas kemudahan OKU telah dipantau sepenuhnya oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan tahap kemudahan OKU mencapai piawaian yang telah ditetapkan samada di bangunan kerajaan dan bangunan GLC atau swasta.
Selain daripada itu, pihak PBT juga akan memastikan setiap pembinaan baru yang akan dibangunkan perlu mematuhi syarat yang telah digariskan di dalam pindaan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam (UKBS) 1984 melalui Seksyen 34A.