Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010
40) KEMUDAHAN LIF
Tahun: 2010
Sesi: 3
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Badrul Hisham Bin Abdullah
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Terdapat kes lif terhempas sehingga mencederakan penghuni yang terbabit. Apakah langkah-langkah yang diambil untuk memastikan kes seperti ini tidak akan berulang lagi pada masa yang akan datang?
Langkah-langkah yang diambil untuk membantu pangsapuri kos rendah dalam memastikan penyenggaraan lif yang sempurna dan teratur adalah seperti berikut:
- Meneruskan Program Baikpulih Lif Pangsapuri Kos Rendah di bawahPakej Rangsangan Ekonomi Negeri Selangor bagi tahun 2011. Manakala, bagi tahun 2010, Kerajaan Negeri telah pun memperuntukkan sejumlah RM1,648,805.00(Ringgit Malaysia: Satu Juta Enam Ratus Empat Puluh Lapan Ribu Lapan Ratus Lima Sahaja) untuk program membaik pulih lif ini.
- Membuat kajian untuk mengambil alih penyenggaraan pangsapuri kos rendah khususnya pengurusan lif sama ada melalui penubuhan satu syarikat anak Kerajaan Negeri atau kontraktor-kontraktor yang dilantik Kerajaan Negeri sebagai ejen pengurusan. Kajian ini adalah penting untuk memastikan penyenggaraan bangunan yang diambil alih Kerajaan Negeri dapat dilaksanakan secara cekap dengan penggunaan sumber yang optimum. Kerajaan Negeri menjangka pelaksanaan pengambilalihan kerja-kerja penyenggaraan bagi pangsapuri kos rendah berkenaan dapat dibuat bermula tahun 2011.
Namun begitu, Kerajaan Negeri menggalakkan supaya tanggungjawabpenyenggaraan bangunan ini dilaksanakan sendiri oleh JMC atau MC. Ini adalah kerana melalui penglibatan JMC atau MC secara langsung, segala perbelanjaan dan urusan berkaitan penyenggaraan bangunan dapat dikawal dan ditentukan oleh JMC atau MC berdasarkan keperluan utama pembeli dengan mengambil kira kedudukan kewangan sedia ada.
-
Siapakah yang bertanggungjawab untuk memastikan lif dapat diselenggarakan dengan baik?
Berdasarkan peruntukan Akta Hakmilik Strata 1985 [Akta 318], pembangunan kawasan pemajuan berstrata termasuk pangsapuri kos rendah adalah merupakan lot-lot hakmilik kawasan persendirian di mana segala kos berkaitan penyenggaraan dan pengurusan harta bersama seperti lif, bumbung, tangga dan sebagainya dibiayai melalui kutipan caj penyenggaraan yang dibayar oleh pembeli kepada pemaju, Badan Pengurusan Bersama, Perbadanan Pengurusan atau ejen pengurusan yang dilantik oleh Pesuruhjaya Bangunan.