Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
82) KEMUDAHAN INTERNET JALUR LEBAR KEPADA PENDUDUK LUAR BANDAR
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Sains, Teknologi & ICT
Adun: Y.B. Tuan Jefri Bin Mejan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha yang dijalankan Kerajaan Negeri bagi menyediakan kemudahan internet jalur lebar kepada penduduk luar bandar di Selangor?
Antara usaha Kerajaan Negeri melalui SMARTSEL Sdn Bhd adalah menaiktaraf rangkaian gentian optik di 95 buah Perpustakaan Awam Negeri Selangor (PPAS). PPAS dipilih kerana lokasinya tertumpu di kawasan luar bandar sekaligus boleh dijadikan hub rangkaian untuk menghubungkan kawasan berdekatan yang lain. Setakat ini sebanyak 15 buah Perpustakaan Desa (PPAS) telah selesai dinaiktaraf manakala baki sebanyak 80 unit lagi di seluruh Negeri Selangor akan dinaiktaraf secara berfasa sehingga 2025.
Selain itu, bagi memudahkan pelaksanaan program Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa 2, Kerajaan Persekutuan telah menggariskan bahawa:
- Kadar kelajuan purata jalur lebar mudah alih diselaraskan kepada 100Mbps melalui pelaksanaan 5G berbanding 4G iaitu 47Mbps sebelum ini.
- Peluasan liputan jalur lebar kepada 100% untuk kawasan berpenduduk di seluruh Negeri Selangor pada 2023.
Pelan Induk Kesalinghubungan Selangor (SCMP) yang sedang dibangunkan pula akan menjadi penanda aras bagi memastikan perancangan teknologi jalur lebar berkelajuan tinggi dapat direalisasikan, ini termasuk strategi menaiktaraf WiFi Smart Selangor sekaligus memperluaskan capaian rangkaian 5G mahupun infrastruktur digital dan telekomunikasi jalur lebar di seluruh Negeri Selangor.
-
Senaraikan inisiatif kemudahan internet jalur lebar yang telah dilaksanakan di Ijok bagi tempoh 2020-2023.
Kerajaan Negeri melalui SMARTSEL Sdn Bhd, melaksanakan inisiatif WiFi Smart Selangor dimana 31 unit Access Point (AP) telah dipasang melibatkan Parlimen Kuala Selangor yang merangkumi DUN Ijok, DUN Jeram dan DUN Bukit Melawati. WiFi Smart Selangor ini mempunyai kelajuan rangkaian sehingga 800Mbps dengan setiap pengguna menikmati kelajuan sehingga 8Mbps.
Menerusi inisiatif JENDELA pula, terdapat 2 buah menara baru telah siap beroperasi pada suku kedua 2023 dan 59 stesen pemancar sedia ada telah dinaiktaraf. Sejumlah 5,926 premis sambungan gentian optik telah tersedia di dalam kawasan DUN Ijok. Selain itu, 6 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dibawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berada di kawasan Parlimen Kuala Selangor dimana dua daripadanya terletak di DUN Ijok yang mempunyai capaian Internet untuk memberi kemudahan kepada masyarakat dan kawasan yang kurang mendapat liputan jalur lebar.
Kerajaan Negeri juga dimaklumkan bahawa kerja-kerja perancangan dan integrasi 5G telah pun dimulakan di daerah Kuala Selangor. Sehingga suku kedua 2023, terdapat 5 tapak yang mempunyai ketersediaan rangkaian 5G dan berbaki 5 tapak untuk pelaksanaan. Dengan pembangunan rangkaian 5G ini sekaligus ianya akan membantu mempertingkatkan capaian internet di DUN Ijok yang pada tahun sebelumnya hanya mencatatkan 32Mbps tetapi telah meningkat naik sehingga 78Mbps bagi pengguna mudah alih, manakala 85Mbps dicatatkan pada tahun sebelumnya berbanding 105Mbps yang dicatatkan sehingga September 2023 bagi pengguna servis jalur lebar.