Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015
47) KEMUDAHAN ASAS
Tahun: 2015
Sesi: 3
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sila nyatakan kaedah Kerajaan Negeri dalam memantau keberkesanan laluan ÒBas Percuma SelangorkuÓ sejak Julai 2015, dan hasil pemantauan.
Kerajaan Negeri bersama-sama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah berjaya melancarkan perkhidmatan bas secara percuma yang dikenali sebagai Bas Selangorku pada 1 Julai 2015. Kejayaan ini menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri Selangor dalam merealisasikan kemudahan pengangkutan percuma untuk semua rakyat di Negeri Selangor secara berperingkat.
Sejak dilancarkan pada 1 Julai 2015, perkhidmatan Bas Selangorku telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Ini berdasarkan laporan bulanan yang dikemukakan kepada pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan juga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terlibat sebagai salah satu kaedah pemantauan yang berterusan bagi memastikan kemudahan tersebut adalah relevan dan boleh dipercayai.
Berdasarkan rekod, terdapat peningkatan sehingga 77.42 peratus (77.42%) bagi tempoh 1 Julai 2015 hingga 30 September 2015 dengan jumlah keseluruhan penumpang adalah 234,110 orang. Perincian peningkatan bagi setiap PBT bermula Julai hingga September adalah seperti di Jadual 1.
Jadual 1: Jumlah Penumpang dari Julai hingga September Mengikut PBT
PBT JUMLAH PENUMPANG Jumlah mengikut PBT / Keseluruhan JULAI OGOS SEPTEMBER MBSA 26,709 42,066 45,894 114,669 MPSJ 19,699 30,686 33,419 83,804 MPK 6,821 13,688 15,128 35,637 Jumlah Bulanan
53,229
86,440
94,441
234,110
-
Sila nyatakan Dasar Pengangkutan Awam Kerajaan Negeri bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam seperti menyediakan laluan pejalan kaki yang berkualiti dan tanaman pokok yang sesuai.
Rangka yang telah dirancang untuk digariskan dalam Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor adalah menetapkan nisbah pengangkutan awam kepada penggunaan kenderaan persendirian ialah 60:40 berbanding nisbah yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) iaitu 40:60. Sehubungan itu, adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk memastikan sistem jaringan pengangkutan awam yang menyeluruh serta merangkumi aspek-aspek sistem pengangkutan awam sedia ada, jaringan jalan raya dan lalu lintas yang akan membantu memperbaiki sistem pengurusan trafik di negeri Selangor. Namun, Kerajaan Negeri tidak mengabaikan infrastruktur lain yang berkait rapat dengan pengangkutan awam seperti laluan pejalan kaki yang berkualiti dan tanaman pokok yang sesuai. Usaha untuk menambahbaik infrastruktur-infrastruktur ini sentiasa dilaksanakan dengan menaiktaraf kemudahan awam seperti yang dilaksanakan oleh pihak PBT.