Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010

28) KEMPEN TIDAK MENGGUNAKAN BEG PLASTIK

Tahun: 2010

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah matlamat kempen ini dilancarkan?

    Kempen Hari Tanpa Beg Plastik ini dilaksanakan khusus bagi mengurangkan
    penggunaan beg plastik di Negeri Selangor dan juga mengubah pemikiran
    masyarakat bahawa beg plastik adalah bukan sumber percuma tetapi sumber
    asasnya adalah daripada petroleum. Oleh itu, penggunaan beg plastik yang lebih
    efisien adalah wajar bagi menjamin kemapanan alam sekitar.
    Matlamat utama kempen ini adalah untuk mengurangkan peratus penggunaan beg
    plastik sebanyak 20% bagi tahun 2010. Kerajaan Negeri juga mensasarkan lebih
    ramai peruncit/pasar raya yang menyertai Kempen Hari Tanpa Beg Plastik ini dan
    penglibatan orang awam bagi menjayakan kempen ini adalah penting bagi
    memastikan keberkesanan pengurangan penggunaan beg plastik di Negeri Selangor
    dan seterusnya menjadi contoh ikutan bagi negeri-negeri yang lain.

  2. Adakah kempen ini mencapai objektif yang dihasratkan?

    Setakat bulan Mei 2010, sebanyak 5 juta beg plastik berjaya dikurangkan hasil
    daripada kempen ini dan sebanyak 72 pasar raya / peruncit dengan lebih kurang 755
    premis di seluruh Selangor telah menandatangani deklarasi bagi menyertai kempen
    ini.
    Berdasarkan pemantauan kempen ini setiap hari Sabtu, pengguna secara beransuransur mula membawa beg sendiri daripada rumah bagi mengelak dikenakan caj
    RM0.20 tersebut. Ini menunjukkan masyarakat mula menerima dan menyokong
    kempen ini demi menjamin kepentingan alam sekitar yang berterusan.

  3. Mengapa tidak dilarang saja kilang-kilang mengeluarkan beg plastik?

    Kerajaan Negeri tidak melarang pengeluaran beg plastik oleh kilang-kilang kerana
    penggunaan beg plastik dalam industri masih diperlukan dan permintaan yang masih
    tinggi kerana kemudahan penggunaannya. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri
    amat menggalakkan penggunaan beg berkualiti tinggi dan boleh diguna semula.
    Kempen-kempen kesedaran alam sekitar masih lagi diperlukan untuk mendidik dan
    memberi kesedaran kepada orang awam mengenai kesan penggunaan beg plastik di
    mana jika penggunaannya semakin meningkat, ia boleh menimbulkan pelbagai
    masalah termasuk pencemaran alam sekitar.

Lampiran

Tiada Lampiran.