Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

60) KEMPEN TANGKAPAN IKAN BANDARAYA

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Dato' Harrison Bin Hassan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sejauh manakah impak dan keberkesanan tawaran pemberian ganjaran RM1 oleh Kerajaan Negeri bagi setiap 1 kilogram tangkapan ikan bandaraya setakat 1 Oktober 2024?

    Pemberian ganjaran RM1 merupakan satu inisiatif Kerajaan Negeri Selangor melalui Pejabat Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor. Program ini telah mendapat kerjasama dari Jabatan Perikanan Negeri Selangor, MBI, Landasan Lumayan Sdn Bhd, UNISEL dan Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya (KPIB). Program telah bermula pada 1 September 2024 sehingga 30 September 2024.

    Bagi fasa yang pertama iaitu dari 1 September sehingga 30 September 2024, program ini telah dijalankan di kawasan Denai Kebangsaan @ Sungai Langat. Kawasan ini dipilih kerana sumber ikan tempatan di kawasan ini masih ada dan dengan mengurangkan populasi ikan di sini akan memastikan sumber ini terus terpelihara.

    Sepanjang pelaksanaan program ini di Denai Kebangsaan @ Sungai Langat ia telah menarik seramai 111 penyertaan orang awam dari seluruh Negeri Selangor. Penyertaan ini telah berjaya mendaratkan sebanyak 4,467kg ikan bandaraya. Jumlah ikan yang didaratkan adalah jauh dari jangkaan asal iaitu 5 tan. Ini berlaku disebabkan keadaan cuaca yang menyebabkan aras air sungai yang tinggi pada bulan September. Walaubagaimanapun, melalui maklumbalas yang diterima dari pemancing sekitar kawasan ini, program ini sedikit sebanyak memberikan kesan positif dari segi hasil tangkapan mereka.

    Oleh kerana dana untuk pemberian insentif ini masih berbaki, program akan diteruskan ke lokasi yang sesuai pada tahun ini.

  2. Adakah tawaran sebegini berjaya mencapai objektif dan sasarannya?

    Objektif utama program ini dijalankan adalah untuk mengurangkan populasi ikan Pleco dari perairan sungai di Negeri Selangor. Jangkaan pendaratan semasa pelaksanaan program adalah sebanyak 5 tan untuk tempoh 1 September sehingga 30 September 2024. Namun demikian ianya tidak mencapai hasil yang dikehendaki kerana hanya 4,467kg sahaja yang dapat didaratkan. Antara faktor utama pendaratan yang kurang ini adalah disebabkan faktor cuaca hujan yang menyebabkan aras air sungai naik dan arus air yang laju. Ini menyukarkan kerja pemburu ikan ini untuk menjala ikan di dalam sungai. Selain itu faktor keselamatan juga perlu diutamakan oleh pemburu dengan keadaan arus sungai yang deras.

Lampiran

Tiada Lampiran.