Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

69) KEMPEN JIMAT AIR

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Syed Ahmad Bin Abdul Rahman Alhadad

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah langkah Kerajaan Negeri dalam menangani isu pembaziran air?

    Dalam menangani isu pembaziran air, Air Selangor merangka pelan hala tuju 2022 – 2025 yang mengambil pendekatan 4E – Enable, Engage, Encourage & Exemplify untuk menggalakkan dan mendidik para pengguna tentang pemuliharaan air. Pendekatan 4E ini adalah seperti berikut:

     

    Enable

    • Memberikan maklumat dan pendidikan melalui kerjasama jangka panjang dengan universiti dan sekolah.
    • Pada tahun 2023, Air Selangor telah berkolaborasi bersama Sekolah Sri Bestari untuk memberi perkongsian tentang penjimatan dan pemuliharaan air. Inisiatif ini juga telah membawa Eco Team – yang merupakan wakil pelajar daripada Sekolah Sri Bestari untuk memberi taklimat atau perkongsian dalam meningkatkan kesedaran tentang penjimatan air kepada enam buah sekolah yang lain menerusi ‘Inter-School Awareness Programme’ (Peer-to-peer programme).
    • Perkongsian dengan BoBoiBoy (siri animasi dan francais popular Malaysia) untuk mempromosikan mesej pemuliharaan air kepada generasi muda.
    • Memberikan maklumat dan tips pemuliharaan air melalui Buku Panduan Air – yang boleh didapati secara percuma di laman web Air Selangor. Buku tersebut merupakan hasil kerjasama antara pakar-pakar di Air Selangor dan ahli akademik Universiti Malaya (UM).
    • Memberikan bidal air (atau ‘water thimble’) iaitu sejenis alat penjimatan air yang dipasang pada pili air secara percuma kepada orang ramai.
    • Melaksanakan projek perintis pemuliharaan air untuk menganggarkan penjimatan kos dan tempoh bayaran balik bagi pemasangan alat penjimatan air.
    • Memberikan akses data penggunaan air yang lebih terperinci untuk pengguna menerusi aplikasi Air Selangor.

     

    Engage

    • Mewujudkan kesedaran melalui pelbagai aktiviti penglibatan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), agensi kerajaan, NGO, sekolah dan pertubuhan keagamaan.
    • Melibatkan ‘influencer’ media, bekerjasama dengan ‘influencer’ alam sekitar dan personaliti terkenal untuk menggalakkan kesedaran pemuliharaan air dalam kalangan orang ramai.

     

    Encourage

    • Air Selangor menggalakkan orang ramai untuk turut bersama-sama memainkan peranan untuk menyokong sasaran liter per kapita sehari (LCD) yang disyorkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) (dahulunya dikenali sebagai Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC)) iaitu 160 LCD menjelang 2030.

     

    Exemplify

    • Mempertimbangkan langkah untuk menambah baik, mengukuhkan dasar serta latihan dalaman berkaitan pemuliharaan air. Ini termasuk kesedaran, dasar dan prosedur serta projek penjimatan air seperti pemasangan sistem penuaian air hujan di pejabat-pejabat Air Selangor.
    • Meneruskan dan mempergiat usaha Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam mempromosikan produk cekap air iaitu Pili Cekap Air yang berstatus 3 (tiga) bintang. Pada tahun 2023, Air Selangor telah mengadakan Majlis Pelancaran Program Pili Cekap Air yang telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dr. Mohammad Fahmi Ngah, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Industri Halal, Infrastruktur Digital, Pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) pada 15 Disember 2023. Menerusi program ini, Air Selangor telah menukarkan pili wuduk sedia ada di lapan buah masjid yang terlibat di sekitar negeri Selangor kepada pili wuduk cekap air.

     

    Air Selangor akan terus meneliti dan menerima pakai amalan terbaik untuk mewujudkan dan meningkatkan kesedaran lalu membudayakan amalan pemuliharaan air dalam kalangan pengguna.

Lampiran

Tiada Lampiran.