Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

320) KEMPEN BEBAS STRAW PLASTIK

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sampai tahap mana Negeri Selangor mencapai kempen bebas straw plastik?

    Kerajaan Negeri Selangor amat komited dalam usaha menangani isu penggunaan plastik termasuklah straw plastik dengan pelaksanaan pelbagai kempen dan program ke arah sifar plastik. Tujuan utama kempen ini diadakan adalah untuk memupuk sikap dan kesedaran masyarakat tentang kesan penggunaan plastik pada generasi akan datang.

    Hasil daripada kempen yang telah dilaksanakan, didapati tahap kesedaran dan penerimaan masyarakat terhadap kempen ini amat baik dan mereka sentiasa berusaha untuk tidak menggunakan straw plastik di restoran atau kedai makan. Selain daripada itu, kebanyakan premis perniagaan makanan juga dilihat tidak lagi menyediakan straw plastik malah menggantikannya dengan straw yang diperbuat daripada kertas, buluh atau besi.

  2. Adakah Kerajaan Negeri masih mengadakan kempen-kempen bebas straw plastik?

    Kempen bebas straw plastik terus dipergiatkan agar masyarakat sentiasa peka dan bersedia. Kerajaan Negeri dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan sentiasa mengambil langkah berbentuk program kesedaran dan pendidikan untuk menggalakkan masyarakat supaya tidak menggunakan straw plastik. Antara kempen yang masih dijalankan seperti berikut:

    1. Kempen bebas plastik di premis perniagaan termasuk kedai makan;
    2. Penguatkuasaan secara bersepadu bagi premis perniagaan yang masih menyediakan straw plastik;
    3. Melarang penggunaan straw plastik di setiap program rasmi Kerajaan Negeri; dan
    4. Menggalakkan premis-premis perniagaan menyediakan straw alternatif kepada pengguna sama ada secara percuma atau jualan.

Lampiran

Tiada Lampiran.