Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

4) KEMPEN BEBAS PLASTIK

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan dasar-dasar Kerajaan Negeri bagi pengurangan penggunaan plastik di Selangor.

    Pertanyaan ini akan dijawab bersekali dengan soalan No. 191 daripada Yang Berhormat Pandamaran berkaitan cara-cara Kerajaan untuk mengawal penggunaan straw.

    Kerajaan Negeri telah mengambil langkah untuk mengadakan larangan terhadap beg plastik dan polisterina pada setiap hari bermula 1 januari 2017. Melalui kempen yang dilancarkan ini, kutipan caj terhadap penggunaan beg plastik adalah bertujuan mewujudkan kesedaran dalam kalangan pengguna mengenai bahaya beg plastik terhadap alam sekitar dan kesihatan. Caj ini dikenakan oleh peniaga-peniaga di premis-premis perniagaan yang menyediakan beg plastik khususnya dalam skala yang besar kepada pengguna, seperti di pasar raya, super mart, pasar raya mini dan sebagainya.

    Pada 1 Julai 2019 juga, Kerajaan Negeri telah melancarkan kempen #BebasStrawPlastik bagi tujuan penjagaan alam sekitar terhadap penggunaan straw plastik yang semakin meningkat. Melalui kempen ini, peniaga tidak dibenarkan untuk menyediakan straw plastik secara automatik atau ‘default’ bagi setiap minuman yang dipesan. Peniaga juga dilarang menyediakan straw plastik di kaunter untuk diambil secara bebas dan hanya adakan diberikan atas permintaan pelanggan secara percuma.

    Dasar-dasar dan kempen yang diadakan ini adalah selaras dengan pelan tindakan yang digariskan di dalam Roadmap Towards Zero Single-use Plastics 2018-2030 yang dilancarkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) pada 17 Oktober 2018.

  2. Apakah tindakan-tindakan yang boleh diambil oleh PBT terhadap pengusaha yang tidak mematuhi syarat larangan penggunaan plastik?

    Pada masa ini, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah mengedarkan notis pematuhan kepada peniaga bagi pelaksanaan kempen #Bebasplastik oleh Kerajaan Negeri Selangor. Kriteria ini juga telah dimasukkan di dalam borang pemeriksaan Peniaga Terbaik Pasar Ramadhan sebagai salah satu kriteria bagi menggalakan pengurangan penggunaan plastik dikalangan peniaga .

    Pihak PBT juga membuat semakan terhadap pemilik premis perniagaan dan akan mengeluarkan Notis Pematuhan Syarat (NPS) kepada pemilik premis perniagaan yang tidak mematuhi syarat larangan penggunaan plastik.

  3. Adakah Kerajaan Negeri bercadang menyalurkan peruntukan kepada ADN untuk menganjurkan program Kempen Bebas Plastik?

    Kerajaan Negeri pada masa ini telah bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam melaksanakan program, aktiviti dan kempen-kempen kepenggunaan seperti Kempen Bebas Plastik dan Kempen Bebas Straw Plastik. Antara agensi pelaksana yang terlibat termasuklah Pihak Berkuasa Tempatan di Negeri Selangor, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Selangor, NGO dan Persatuan, serta sekolah-sekolah. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri adalah terbuka untuk menerima dan mempertimbangkan sebarang permohonan bagi penganjuran program-program dan kempen kepenggunaan termasuklah daripada pihak ADUN dan pihak ADUN juga adalah digalakkan untuk menggunakan peruntukan sedia ada bagi penganjuran Program Kempen Bebas Plastik.

Lampiran

Tiada Lampiran.