Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
369) KEMPEN BEBAS BEG PLASTIK DAN POLISTIRENA
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan tindakan Kerajaan Negeri yang telah diambil untuk mengatasi penggunaan beg plastik/ polistirena.
Kerajaan Negeri telah memulakan langkah-langkah awal untuk mengawal dan mengurangkan penggunaan beg plastik dan polisterina seperti berikut:
- Kempen Bebas Plastik telah mula dilaksanakan di Negeri Selangor seawal Januari 2010 dengan penetapan tiada beg plastik pada setiap hari Sabtu;
- Pelaksanaan Hari Tanpa Beg Plastik selama tujuh (7) hari seminggu bermula pada 1 Januari 2017. Namun begitu, pada 1 Januari 2020, Kerajaan Negeri telah mengeluarkan dasar baharu menerusi Garis Panduan Pelaksanaan Program Kutipan Caj Beg Plastik di Negeri Selangor denganmengenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik yang dikeluarkan;
- Selain itu, pada Julai 2019, Kerajaan Negeri telah melancarkan Kempen Bebas Straw Plastik dan Polisterina yang bertujuan untuk mengatasi isu pencemaran alam sekitar. Kempen ini adalah untuk menyokong inisiatif yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030; dan
- Pada Mei 2022, Kerajaan Negeri telah meluluskan pelaksanaan dasar larangan beroperasi terhadap kilang dan premis memproses sisa plastik kitar semula di Negeri Selangor yang menfokuskan kepada aktiviti-aktiviti import plastik. Dasar ini bertujuan membolehkan Kerajaan Negeri mengawal aktiviti kilang-kilang plastik yang boleh menjejaskan kualiti alam sekitar. Permohonan Lesen Import bagi sisa plastik kitar semula dihadkan bagi menangani lambakan sisa plastik. Dengan adanya dasar tersebut, operasi penguatkuasaan oleh PBT dan Jabatan/Agensi berkaitan akan dapat dilaksanakan dengan lebih tegas dan berkesan.
- Bagi memastikan Kempen Bebas Plastik dan Polisterina dilaksanakan secara berterusan, MMKN Ke 34/2024 yang diadakan pada 6 Disember 2024 dan MMKN Ke 35/2024 bertarikh 18 Disember 2024 telah mengesahkan dan bersetuju dengan cadangan pelaksanaan Hari Tanpa Beg Plastik Sekali Guna (Jumaat, Sabtu dan Ahad) dan Program Hindari Penggunaan Plastik Sekali Guna di Bangunan/Premis Kerajaan Negeri. Secara objektifnya, pelaksanaan kempen ini adalah bagi mengurangkan (phasing down) dan seterusnya menghapuskan (phasing out) penggunaan plastik sekali guna. Kedua-dua program tersebut akan mula dilaksanakan pada Mac 2025.
- Pihak Berkuasa Tempatan telah menetapkan (pengenaan kutipan caj beg plastik RM0.20) sebagai salah satu syarat
di dalam surat kelulusan lesen perniagaan premis. - Antara contoh-contoh program pemerkasaan kempen bebas plastik anjuran PBT adalah seperti berikut:
- Majlis Bandaraya Petaling Jaya telah melaksanakan beberapa program Communication, Education and Public Awareness (CEPA) seperti Carian pengunjung pasar, restoran dan gerai yang menggunakan beg guna semula serta bekas makanan guna semula di bawah program Waste Warrior PJKita Bebas Plastik. Pada tahun 2024, sebanyak 234 orang telah menyertai sebagai “Waste Warrior” berbanding 81 orang pada tahun 2023.
- Webinar Bebas Plastik dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam dan peniaga-peniaga setempat ;
- Program Bebas Plastik Dan Polisterina oleh Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).
-
Berapakah saman yang telah dikeluarkan kepada pengusaha/ peniaga yang tidak mematuhi program ini?
Pada masa kini, Program Kutipan Caj Beg Plastik RM0.20 adalah salah satu syarat tambahan yang dikenakan di dalam syarat lesen atau permit perniagaan di bawah peruntukan Seksyen 107 (2) Akta Kerajaan Tempatan 1976. Berdasarkan peruntukan ini, sekiranya terdapat pelanggaran syarat, tindakan boleh di ambil oleh Pihak Berkuasa Melesen (PBM) adalah mengeluarkan notis amaran seterusnya membatalkan lesen. Sebagai contoh, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah melaksanakan tindakan ke atas pemilik-pemilik premis yang gagal mematuhi arahan/prosedur yang telah ditetapkan seperti berikut:
- Pengeluaran Notis Pembatalan Lesen (NPL): 40 premis
- Pengeluaran Kompaun di bawah Seksyen 4(4)(C) : 64 premis
(Undang-Undang Kecil Tred Pelesenan Perniagaan dan Perindustrian MPAJ 2007 dan Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan MPAJ 2007)
Pada ketika ini, Kerajaan Negeri dan PBT berusaha untuk meningkatkan tahap kesedaran melalui pendidikan kepada semua peringkat masyarakat termasuk premis-premis perniagaan mengenai Kempen Bebas Plastik. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri Selangor telah mengadakan sesi libat urus untuk memperhalusi aspek perundangan. Antara hasil sesi libat urus tersebut adalah penyeragaman tindakan penguatkuasaan ke atas premis perniagaan yang gagal mematuhi arahan dan menguatkuasakan inisiatif pengurangan bag plastik di negeri ini. Semakan ini dijangka akan dimuktamatkan pada bulan Mac 2025.