Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
173) KEMPEN BEBAS BEG PLASTIK DAN POLISTIRENA
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Ean Yong Hian Wah
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Beg plastik dan polistirena jenis 'degradable' dan 'biodegradable' masih digunakan di pasaran. Adakah ia memberi kesan yang tidak baik kepada alam sekitar?
Penggunaan beg plastik amat sinonim dengan gaya hidup masyarakat kini. Ianya menjadikannya pilihan utama pengguna dalam urusan jual beli dan pembungkusan makanan. Kebergantungan orang ramai terhadap penggunaan beg plastik dan bekas makanan polisterin dilihat sebagai satu keperluan yang wajib ada dalam kehidupan seharian. Walaubagaimanapun, penggunaannya memberi lebih banyak kesan buruk sekiranya ingin dibandingkan dengan penggunaan produk berasaskan bahan organik. Beg plastik dan polisterin juga sering dikaitkan dalam isu pencemaran serta boleh mengancam kualiti alam sekitar dan boleh menjejaskan kesihatan manusia. Polisterin dan beg plastik diperbuat daripada bahan berasakan petroleum iaitu styrene dan benzin yang merupakan bahan yang tidak dapat hancur dan reput tanpa dikenakan tindakan kimia terhadapnya.
Sebagai alternatif, kebanyakan premis-premis perniagaan telah beralih kepada plastik dan polisterina jenis degradable dan biodegradable sebagai bahan pengganti kepada beg plastik dan polisterina. Ianya telah dikenalpasti sebagai produk yang lebih mudah kompos dan mesra alam. Produk ini juga menggunakan sumber dari bahan yang boleh diperbaharui seperti sumber dari tumbuhan seperti jagung, ubi kayu, tebu, kelapa sawit dan sebagainya. Penggunaan produk jenis ini boleh mengurangkan jumlah sisa pelupusan sampah dan menjimatkan kawasan tapak pelupusan dalam tempoh tertentu. Plastik jenis biodegradble ini merupakan plastik mesra alam yang tidak akan melepaskan karbon kerana tiada karbon yang terlibat dalam proses pembuatannya.
Ianya kini menjadi pilihan premis-premis perniagaan kerana produknya yang paling sesuai dan praktikal bagi menggantikan beg plastik konvensional dari segi kegunaan dan kemampuannya untuk penggunaan harian. Berdasarkan kepada cara pemprosesan plastik biodegradasi itu sendiri, ianya dapat dimasukkan semula ke dalam kitaran semulajadi dalam bentuk baja organik yang bermanfaat untuk tanah. Kita bukan sahaja mendapatkan bahan yang tidak mencemarkan, tetapi bermanfaat untuk alam sekitar.
Walau bagaimanapun, plastik biodegradable yang didakwa mereput dalam masa yang singkat tidak menunjukkan hasil seperti yang diharapkan. Plastik daripada bahan yang boleh diperbaharui gagal menyelesaikan krisis sisa plastik dan masih mengancam kelestarian alam sekitar. Tempoh mereput juga mengambil masa yang lama bagi beg plastik dan polisterin seterusnya memberi impak buruk kepada alam sekitar. Sekiranya tiada pengurusan sistem pepejal yang efisyen dan berteknologi tinggi, sisa plastik akan tetap berada di perairan mahupun di tapak pelupusan sampah dalam tempoh yang panjang.
Pelbagai dasar diperingkat nasional telah diwujudkan dalam mengawal penggunaan plastik di Malaysia antaranya ialah Pelan Hala Tuju Ke arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030 oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA). Kerajaan Negeri juga telah mewujudkan Garis Panduan Pelaksanan Kutipan Caj Beg Plastik Negeri Selangor sebagai langkah Kempen Bebas Plastik.
Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri telah menetapkan supaya Kempen Bebas Plastik dipergiatkan lagi dengan tujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai keburukan plastik kepada alam sekitar. Penggunaan plastik memberi lebih banyak kesan buruk sekiranya ingin dibandingkan dengan penggunaan produk berasaskan bahan organik.
-
Bilakah Kerajaan Negeri akan mengharamkan segala jenis beg plastik dan polistirena?
Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan Kempen Bebas Beg Plastik dan Polistirena bermula 1 Januari 2017. Penguatkuasaan ini telah dilaksanakan setiap hari di semua premis perniagaan di seluruh Negeri Selangor. Pelaksanaannya adalah seperti berikut:
- Beg plastik pakai buang (disposable/single use) tidak lagi dibekalkan kepada pengguna secara percuma;
- Bayaran akan dikenakan bagi setiap beg plastik yang ingin digunakan oleh pengguna;
- Penggunaan bekas makanan dan peralatan daripada polistirena telah dihentikan.
Kempen ini telah ditambah baik dengan pelaksanaan “Hari Tanpa Beg Plastik”. Dalam kempen ini, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau telah membangunkan Garis Panduan Pelaksanaan Program Kutipan Caj Beg Plastik di Negeri Selangor yang mengenakan caj sebanyak RM0.20 bagi setiap helai beg plastik dengan tujuan untuk mengawal dan mengurangkan penggunaanya di samping meningkatkan kesedaran pengguna mengenai bahayanya plastik terhadap alam sekitar dan kesihatan.
Seterusnya, sebagai langkah penguatkuasaan bagi mengawal sisa pepejal plastik dari terus mencemarkan persekitaran, penguatkuasaan terhadap sisa plastik di Negeri Selangor perlu diperketatkan dan prosedur operasi yang lebih tegas perlu dilaksanakan. Selaras dengan hasrat untuk mengurangkan penggunaan plastik di negeri Selangor, Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) ke-11/2022 yang bermesyuarat pada 20 April 2022 dan telah disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
ke 12/2022 pada 11 Mei 2022 telah bersetuju dan meluluskan satu penetapan dasar berhubung pengoperasian kilang dan premis memproses sisa plastik kitar semula di negeri Selangor iaitu:- Tidak membenarkan pengimportan sisa plastik kitar semula bagi tujuan pemerolehan kembali atau pelupusan akhir bagi semua kilang yang menjalankan proses kitar semula plastik;
- Lesen perniagaan baharu bagi kilang-kilang plastik kitar semula tidak akan dipertimbangkan dan diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT);
- Semakan semula setiap lima (5) tahun perlu dibuat bagi permohonan lesen perniagaan baharu kilang-kilang plastik kitar semula;
- Kilang-kilang sedia ada yang mempunyai lesen perniagaan yang sah boleh terus beroperasi, tertakluk kepada syarat-syarat Jawatankuasa Teknikal EIA, PBT dan syarat-syarat tambahan yang lain; dan
- Jabatan Alam Sekitar dan Pihak Berkuasa Tempatan hendaklah melaksanakan penguatkuasaan secara bersepadu dengan menjalankan pemeriksaan yang lebih teliti bagi memastikan prosedur dan peraturan dipatuhi.
Langkah itu bertujuan membolehkan kerajaan negeri mengawal aktiviti kilang-kilang plastik haram yang boleh menjejaskan alam sekitar. Walaupun industri plastik merupakan industri yang menyokong sektor ekonomi negara, Kerajaan Negeri perlu mengambil kira dari aspek pengurusan sisa plastik tersebut bagi mengelakkan pencemaran berlaku yang boleh mengganggu ekosistem manusia dan alam sekitar. Kerajaan Negeri memandang serius akan isu perubahan iklim dan pemanasan global yang semakin kerap berlaku dan usaha-usaha melestarikan alam sekitar perlu dipergiatkan lagi. Oleh yang demikian, dalam usaha untuk mencapai status negeri maju, pembangunan ekonomi harus diseimbangkan dengan perlindungan alam sekitar untuk memastikan kelestarian dan kesejahteraan masyarakat seperti mana yang digariskan dalam Matlamat Pembangunan Lestari – Sustainable Development Goals.
Kerajaan Negeri Selangor juga dalam perancangan untuk menangani isu ini dengan menggunakan pendekatan serta perspektif nasional dan seterusnya beralih kepada kaedah, konsep serta material yang lebih mesra alam. Ini akan memastikan industri masih terus berkembang dengan mengadaptasi konsep teknologi hijau dan pada masa yang sama melestarikan alam sekitar.