Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

133) KEMISKINAN TEGAR DI DUN KOTA KEMUNING

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Preakas A/l Sampunathan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah status kemiskinan tegar di Dun Kota Kemuning dan apakah tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri dalam membantu orang-orang ini ?

    Merujuk kepada data pendaftaran Ketua Isi Rumah (KIR) di dalam Sistem eKasih di bawah ICU, JPM, Selangor sehingga 31 Disember 2023, jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) yang beralamat di kawasan DUN Kota Kemuning berstatus miskin tegar adalah sebanyak 33 orang KIR.

  2. Berapa orang penduduk mendapat manfaat dari tindakan tersebut?

    Untuk makluman Yang Berhormat Kota Kemuning, Kerajaan Negeri sentiasa peka dalam membanteras kemiskinan tegar di negeri ini tidak kira keluarga miskin mahupun keluarga miskin tegar. Sehubungan dengan itu, Iltizam Selangor Penyayang (ISP) merupakan satu inisiatif berterusan yang menjadi strategi jangka masa panjang Kerajaan Negeri Selangor dalam membasmi kemiskinan terutama keluarga miskin tegar. Ini adalah kerana ISP merupakan program-program yang dibentuk untuk memberdayakan rakyat disamping mengupaya dan meningkatkan social safety net seperti yang digariskan di dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). ISP terdiri daripada empat puluh enam (46) program dan dirangkumkan di dalam enam (6) kategori dan antara-antara program yang boleh disasarkan atau yang boleh dipohon oleh golongan miskin tegar di Dun Kota Kemuning adalah Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, Program Jom Shopping Perayaan, Skim Air Darul Ehsan, Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin, Bas Smart Selangor dan banyak lagi.

  3. Adakah tindakan tersebut mencapai motif utama?

    Program-program ISP tersebut diyakini dapat mencapai motif utama untuk membantu membasmi kemiskinan tegar dan juga membantu menghasilkan komposisi ekonomi yang seimbing dalam pekerjaan, kebajikan, kesihatan dan perniagaan secara menyeluruh sekaligus dapat membantu membawa golongan yang kurang bernasib baik ini keluar dari kelompok kemiskinan. Walaupun program-program yang dilaksanakan ini tidak mampu menoktahkan kemiskinan tegar ke tahap sifar, namun secara tidak langsung ianya dilihat berupaya membantu meringankan beban rakyat DUN Kota Kemuning khasnya dan rakyat negeri Selangor amnya dalam menjalani kehidupan seharian disamping dapat membantu meningkatkan sosio ekonomi keluarga.

Lampiran

Tiada Lampiran.