Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009
58) KEMISKINAN DI NEGERI SELANGOR
Tahun: 2009
Sesi: 3
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Peratus kemiskinan mengikut kaum adalah Melayu (73%), India (20.4%), Cina (5.5%) dan lain-lain (1.1%): Apakah kaedah yang digunakan untuk menentukan ukuran peratusan ini?
Peratus kemiskinan tersebut adalah mengikut jumlah penerima bantuan oleh agensi
seperti Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). -
Apakah faktor-faktor yang menyebabkan Orang Melayu menduduki peratus tertinggi di segi kemiskinan?
Umum mengetahui bahawa banyak faktor yang boleh menjadi penyebab kepada
kemiskinan. Penghijrahan, kematian ketua isi rumah, keadaan ekonomi, kehilangan
pekerjaan dan sumber pendapatan, sikap dan mentaliti individu dan pelbagai faktor lain
boleh menjadi penyumbang kepada insiden kemiskinan. Data juga akan berubah
apabila garis kemiskinan diubah dan jumlah penduduk mengikut kaum juga memberi
kesan kepada peratusan tersebut. -
Apakah program-program yang sedang dijalankan untuk membasmi kemiskinan menurut kumpulan kaum ini?
Banyak program dirangka ke arah pembasmian kemiskinan di peringkat Kerajaan
Negeri. Beberapa langkah telah diambil dengan mewujudkan program bersepadu oleh
Kerajaan Negeri seperti Program Kerajaan Prihatin, Program Bantuan Kesihatan
(katarak mata, Dialisis buah pinggang dan pembedahan Kecil) dan Program
peningkatan pendapatan seperti Program Blueprint yang memberi bantuan peralatan
dan mesin untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan mengusahakan
perniagaan secara kecil-kecilan. Program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor
(MES) turut menitikberatkan segala hal kebajikan rakyat Negeri Selangor tanpa mengira
kaum, agama, usia dan fahaman politik. Semua program tersebut merangkumi semua
jenis kebajikan seperti pendidikan, faedah kematian, pembelaan kaum wanita dan
pelaburan anak kelahiran Selangor. Program ini merupakan satu harapan baru kepada
seluruh rakyat Selangor dalam membantu untuk meringankan beban yang ditanggung
akibat daripada peningkatan kos sara hidup. Selain itu, tujuan program ini dilaksanakan
adalah untuk mengurangkan jurang ekonomi rakyat Selangor.
Selain program-program yang dinyatakan tersebut, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil
langkah proaktif dengan mewujudkan program-program baru yang dirasakan relevan
untuk membantu dan membela kebajikan rakyat Selangor yang secara amnya memberi
banyak faedah dan manfaat kepada penduduk Selangor.