Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

15) KEMISKINAN DAN PELUANG PEKERJAAN DI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah peluang pekerjaan bagi anak muda lepasan graduan dalam tempoh PKP?

    Kerajaan Negeri Selangor senantiasa peka dan prihatin terhadap graduan-graduan yang terpaksa melalui tempoh sukar untuk mendapatkan peluang pekerjaan sewaktu penularan wabak pandemik Covid-19 ini terutamanya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimana kebanyakkan sektor pekerjaan dan perniagaan terpaksa gulung tikar dan pengurangan pekerja ekoran permintaan pasaran yang kurang memberangsangkan.

    Oleh yang demikian, bagi membantu lepasan graduan semasa tempoh PKP ini, Kerajaan Negeri telah menawarkan beberapa inisiatif yang dapat membantu para graduan dalam mencari sumber pendapatan masing-masing dengan menawarkan inisiatif seperti berikut:

    1. Program Karnival Kerjaya – Jelajah Selangor Bekerja

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Modal Insan telah merancang untuk meneruskan Program Karnival Kerjaya – Jelajah Selangor Bekerja Tahun 2021 sebanyak enam (6) siri di beberapa lokasi di daerah Selangor seperti daerah Petaling, Klang, Sabak Bernam dan Hulu Selangor. Program Jelajah Selangor Bekerja atau dahulunya dikenali sebagai Program Selangor Job Fair akan dilaksanakan secara bersiri sebagai salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat Selangor yang terkesan sepanjang pandemik Covid-19. Namun begitu, program ini hanya akan diteruskan semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    1. Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS)

    Pada tahun 2018, Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan inisiatif baharu melalui Program IKTISASS yang bertujuan untuk melahirkan golongan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), belia tercicir serta berkeperluan khas dan graduan dengan memberi latihan dalam bidang kemahiran teknikal dan profesional seiring dengan keperluan industri semasa. Pada tahun 2021,           di bawah Program IKTISASS telah melaksanakan Program SELatih Sure – Selatih Strategik Upskilling Reskilling dengan kerjasama Selangor Human Resources Development Centre (SHRDC) yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam bagi membantu memulihkan peluang tenaga kerja di Selangor di dalam menghadapi kemelesetan peluang pekerjaan terutamanya semasa pandemik Covid-19.

    1. Program Selangor Kerjaya

    Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) juga telah mengadakan satu inisiatif baharu iaitu Program Selangor Kerjaya yang bertujuan untuk membantu rakyat Selangor mencari pekerjaan. Program ini menawarkan peluang pekerjaan melalui pemadanan kerjaya yang berkesan melalui Portal Selangor Kerjaya melalui laman web dengan pautan https://www.selangortalentportal.com.my. Kemudahan Selangor Talent Portal adalah diberi secara percuma kepada majikan yang mahu mengiklankan jawatan kosong dan individu yang ingin mencari peluang pekerjaan, di mana mereka hanya perlu mendaftar dengan Selangor Talent Portal. Calon akan melalui penilaian profil serta pemadanan kerjaya tertakluk kepada pekerjaan yang diiklankan dan pemilihan tersebut akan dilakukan oleh majikan yang berdaftar sebelum penempatan kerja sebenar berlaku. Setelah penempatan kerja berlaku, calon akan diberikan latihan-latihan profesional dan akses pembelajaran dalam talian selama dua belas (12) bulan.

  2. Apakah inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu golongan yang telah kehilangan perkerjaan dalam tempoh PKP?

    Kerajaan Negeri Selangor mengambil maklum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)/ Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang berkuat kuasa kini adalah merupakan tempoh yang amat mencabar di dalam pelbagai aspek kepada setiap lapisan masyarakat kini. Ia telah memberi kesan secara langsung kepada sektor pekerjaan di mana kebanyakkan syarikat mula gulung tikar sekaligus terpaksa memberhentikan pekerja masing-masing dan ini telah meningkatkan kadar pengangguran.

    Oleh yang demikian, sebagai inisiatif tambahan daripada program yang disebutkan di atas, Kerajaan Negeri turut dalam penelitian rangka kerja dan kaedah yang efisien untuk terus memberi bantuan-bantuan program berbentuk bengkel, seminar, kursus jangka pendek dan sederhana dalam memberi ilmu pengetahuan baharu dan menggilap kemahiran sedia ada atau baharu sebagai ‘value added’ dalam meningkatkan lagi peluang pekerjaan alternatif sebagai punca pendapatan baharu di dalam sektor pekerjaan dan perniagaan mengikut keperluan semasa.

  3. Apakah bantuan tambahan COVID-19 yang diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada warga Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor sedar wabak pandemik Covid-19 ini telah memberi kesan negatif terhadap seluruh lapisan masyarakat terutamanya rakyat di negeri Selangor. Oleh yang demikian, sedar akan kemelut dan cabaran yang dihadapi oleh rakyat, Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan peruntukan berjumlah 8 juta di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 sepanjang pandemik wabak Covid-19 dengan melaksanakan beberapa inisiatif yang dapat membantu mengurangkan beban rakyat seperti berikut:

    • Program Bakul Makanan – Insentif khas untuk golongan B40, pemandu bas dan van sekolah, pemandu teksi dan bas persiaran, ibu tunggal dan OKU serta pesakit COVID-19.
    • Bantuan Kewangan Pesakit Covid-19 Yang Meninggal Dunia – Bantuan RM1,000.00 akan diberikan bagi setiap keluarga waris.
    • Bantuan Khas RM500 OKU – Bantuan RM500.00 secara ‘one-off’.
    • Moratorium Usahawan Hijrah Selangor – Moratorium pinjaman HIJRAH selama 1 setengah bulan kepada 40,000 usahawan.
    • Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor – Tempoh mula bayaran ansuran dilanjutkan daripda 6 bulan kepada 12 bulan selepas tamat pengajian.
    • Portal ePTRS.MY (Program Tuisyen Rakyat Selangor) – RM500,000.00 diperuntukkan untuk pelajar yang akan menduduki SPM.
    • Penanguhan bayaran sewa PPR & Smart Sewa – Penangguhan bayaran sewa bulan Julai 2021.
    • Bantuan Khas RM450‘one-off’ – Untuk pengusaha tadika di negeri Selangor yang diurusetiakan oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Sebarang pertanyaan boleh menghubungi:
    1. https://wasap.my/60132482760/SoalanBantuanBKPGTSFASA2
    2. bantuankhastadikaselangor@gmail.com
    3. https://forms.gle/CLhMbREmYewTGEAeA
    • Bantuan Khas RM150 ‘one-off’ – Kepada setiap guru-guru tadika di Selangor. Penangguhan Bayaran Pinjaman Pelajaran Biasiswa Yayasan Selangor – bermula 1 April hingga 30 September 2021. Urus setia Cawangan Biasiswa dan Pinjaman Pelajaran, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.
    • Bantuan Kewangan Sektor Pelancongan – Merangkumi Geran Bantuan Kewangan, Baucar Pelancongan, Program Latihan Digital, Bantuan kewangan kepada persatuan pelancongan. Diurusetiakan oleh Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Alam Sekitar Negeri Selangor.
    • Data Internet Selangor B40 – Kad SIM dengan data internet tanpa had kepada B40 bernilai RM15.00 dan subsidi RM20.00 akan dibayar oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) secara permohonan dalam talian.
    • Skim Internet Selangor M40 (SISM40) – Setiap isi rumah akan berpeluang menikmati subsidi antara RM10.00 hingga RM30.00 sebulan bagi tempoh setahun bermula 1 Julai 2021. Terdapat 8 Pakej Internet yang akan diperkenalkan untuk golongan M40 oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) secara permohonan dalam talian.

    Bantuan Selangor Advanced – Untuk menyelamatkan dan menjamin pekerja syarikat yang terjejas oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) secara dalam talian di https://selangoradvance.com.my.

Lampiran

Tiada Lampiran.