Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

333) KEMISKINAN DAN PELUANG PEKERJAAN DI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Tuan Loh Chee Heng

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah jenis peluang pekerjaan disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk golongan miskin dan kurang berpendidikan?

    1. Secara dasarnya, tiada peluang pekerjaan khusus yang disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk golongan miskin dan kurang berpendidikan. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kemiskinan telah memperkenalkan program yang dikenali sebagai Program Tajaan Kemahiran Teknikal melalui Kolej Antarabangsa INPENS yang bertujuan untuk membantu golongan generasi muda daripada keluarga berpendapatan seisi rumah sebulan di bawah RM3,000.00 dengan memberikan penajaan kos yuran bagi melanjutkan pelajaran dalam Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Melalui program ini, ianya diharap membolehkan mereka mendapat peluang pekerjaan dan seterusnya membantu meningkatkan pendapatan keluarga setelah tamat pengajian.

     

  2. Apakah garis panduan guna mengukur jumlah pendapatan keluarga dikategorikan sebagai miskin?

    Paras Garis Kemiskinan (PGK) merupakan pendapatan atau keperluan minimum yang diperlukan oleh sesebuah isi rumah (IR) bagi memenuhi keperluan asas makanan dan bukan makanan bagi setiap ahlinya. PGK digunakan untuk mengenalpasti bilangan isi rumah miskin dan mengukur insiden kemiskinan. PGK keseluruhan terdiri daripada PGK makanan dan PGK bukan makanan. Sesebuah isi rumah adalah dianggap miskin sekiranya pendapatan bulanan isi rumah tersebut adalah kurang daripada PGK, iaitu pendapatan yang mencukupi bagi membolehkan isi rumah tersebut memenuhi keperluan asas dari segi makanan dan bukan makanan yang membolehkan setiap ahlinya berfungsi di dalam masyarakat.

     

    Sebagai makluman, PGK peringkat Nasional bagi tahun 2007 bagi Semenanjung Malaysia adalah sebanyak RM720 seisi rumah. Manakala bagi Sarawak serta Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan masing-masing adalah sebanyak RM830 dan RM960 seisi rumah. Bagi tahun 2012 pula, PGK di peringkat Nasional adalah selaras dengan Rancangan Ekonomi Kesepuluh (RMK-10), yang mana PGK makanan dan bukan makanan yang telah ditetapkan untuk isi rumah miskin berdasarkan kepada kiraan adalah RM830.00 seisi rumah. Manakala bagi Sarawak serta Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan masing-masing adalah sebanyak RM920 dan RM1,090 seisi rumah.

    PGK yang digunapakai di Selangor pula adalah sebanyak RM1,500.00. Ini adalah berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Bil. 1/2009 pada 7 Januari 2009 telah bersetuju dan memutuskan supaya PGK Negeri Selangor dinaikkan ke RM1,500.00. Namun begitu, tiada satu asas pengiraan yang dibuat.

  3. Sejauh manakah kejayaan program MES disifatkan berkesan mengurangkan kadar miskin di negeri Selangor?

    1. Seperti mana kita sedia maklum, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai program bagi mengurangkan kadar kemiskinan di negeri Selangor. Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Kemiskinan untuk meningkatkan taraf ekonomi bagi golongan masyarakat berpendapatan di bawah RM1,500.00 sebulan terutamanya melibatkan peniaga-peniaga kecil menerusi pemberian bantuan peralatan/ mesin berdasarkan perusahaan yang sedang dijalankan bagi membantu menjana serta meningkatkan pendapatan

     

    Selain itu, terdapat pelbagai program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang dilaksanakan di bawah Jawatankuasa-jawatankuasa Tetap yang lain seperti Program Skim Mikrokredit Selangor (Skimsel) dan Skim Mikrokredit Miskin Bandar (MIMBAR). Program Skimsel bermatlamat untuk membantu golongan miskin memperolehi dana bagi menjalankan perniagaan sebagai salah satu usaha membebaskan mereka dari kitaran kemiskinan. Manakala program MIMBAR pula merupakan pinjaman mikrokredit Qardul Hasan iaitu pinjaman tanpa faedah dan caj pengurusan yang bertujuan untuk membantu menambahkan pendapatan seisi keluarga bagi melepasi Paras Garis Kemiskinan (PGK).

    Melalui pelaksanaan program-program MES ini, ianya dilihat berupaya mengurangkan kadar kemiskinan di negeri Selangor. Merujuk kepada Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2012 (seperti di JADUAL 7), negeri Selangor mencatatkan peratusan kadar kemiskinan sebanyak 0.4% manakala 0.0% bagi kemiskinan tegar. Ini menunjukkan bahawa kadar kemiskinan di negeri Selangor adalah jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan negeri-negeri yang lain.

    Sehubungan dengan itu, menerusi pelaksanaan program-program MES yang telah dijalankan, ianya diharap dapat membantu keluarga yang berpendapatan rendah bagi meringankan beban kos sara hidup serta membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan melalui penjanaan pendapatan.

     

    JADUAL 7

     

    INSIDEN KEMISKINAN MENGIKUT NEGERI DAN STRATA DI MALAYSIA TAHUN 2012

     

    (Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia, 2012)

Lampiran

Tiada Lampiran.